Duta Malaysia Di Pyongyang Dipanggil Pulang

Kerajaan memanggil pulang Duta Malaysia di Pyongyang sebagai reaksi kepada kenyataan dibuat diplomat Korea Utara ke atas Malaysia baru-baru ini.

 

Langkah itu, kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia, dibuat sebagai proses rundingan kerajaan.

 

Wisma Putra juga memanggil Duta Besar Korea Utara hari ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan dibuatnya pada sidang media 17 Februari lalu.

 

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Wisma Putra memberitahu, Kang Chol mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin.

 

Kementerian Luar menegaskan, disebabkan kematian Kim Jong-nam itu berlaku di Malaysia dan dalam keadaan mencurigakan, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

 

“Penyiasatan kes ini telah dilaksanakan mengikut tatacara yang telah ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.

 

“Kedutaan Besar Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

 

“Oleh itu, proses bedah siasat perlu dijalankan,” kata kenyataan berkenaan.

 

Pada sidang media Jumaat lalu duta Korea Utara terbabit memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai “sesuatu untuk disembunyikan”.

 

Kang Chol juga mendakwa Malaysia “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar” dalam pengendalian kes kematian abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, itu pada 13 Februari lalu.

 

Kenyataan Kementerian Luar Malaysia menambah, kerajaan turut memaklumkan kepada Kang Chol bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada waris mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada di negara ini.

 
“Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus. Kedutaan juga akan dimaklumkan tentang perkembangan berkaitan penyiasatan tersebut dan juga proses yang terlibat di bawah undang-undang Malaysia.

 

“Kerajaan menganggap kritikan yang dibuat oleh Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea tersebut sebagai tidak berasas.

 

“Kerajaan mengambil serius di atas segala tuduhan yang dilemparkan bertujuan untuk mencemarkan reputasi Negara,” katanya.Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.