Dulu ‘Prof’ dan ‘Datuk Seri’, Kini Bekas TKM Pulau Pinang Bergelar ‘Tunku’ Pula?

KUALA LUMPUR — Penganugerahan pangkat yang diperoleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang, Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin menjadi persoalan apabila beliau mendapat gelaran darjah kebesaran dan kelayakan akademik dalam masa singkat.

 

Memetik laporan mStar, Fairus telah menggelarkan dirinya sebagai Yang Mulia (YM) Tunku Datuk Seri Panglima dan menggunakan nama “YM Tunku DS Fairus” di laman Facebook peribadinya.

 

Portal itu mendapati Fairus dimasyhurkan pada Majlis Istiadat Rasmi Pertubuhan Silat Seni Gayong Nusantara (PSSGN) dan mengiktiraf dirinya memiliki pertalian darah dengan kerabat diraja Kesultanan Kedah pada 8 Ogos tahun lalu.

 

“Menerusi laman web rasmi PSSGN, dinyatakan bahawa susur galur Mohammad Khairuddin dengan kerabat diraja Kedah adalah melalui bapanya yang menggunakan gelaran ‘Tunku Khairuddin Ibni Tengku Che Kama’ dari keturunan Almarhum Tuanku Sultan Sir Abdul Hamid Halim Syah Ibni Almarhum Tuanku Ahmad Tajuddin Mukarramsyah iaitu Sultan Kedah yang ke-25,” lapor portal itu.

 

Walaubagaimanapun, Fairus didapati memadam gelaran YM Tunku tersebut daripada laman Facebooknya selepas pendedahan mStar, dan kini menggunakan “DS DrMohd Fairus” sahaja.

 

Fairus tidak dapat dihubungi untuk sebarang komen.

 

Fairus, wakil rakyat PKR, meletakkan jawatan sebagai TKM1 Pulau Pinang dan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti pada April 2009. Setahun kemudian, beliau mengumumkan menyertai Umno.

 

Beliau mendapat anugerah “Datuk” pada tahun 2012, namun beberapa bulan kemudian pada tahun sama, beliau menggunakan gelaran “Datuk Seri” berdasarkan laporan media.

 

Menurut portal itu, Fairus mula menggunakan gelaran doktor falsafah (PhD) pada Ogos 2011 selepas dua tahun dikatakan melanjutkan pelajaran luar negara, namun tempoh sebenar kursus pengajiannya tidak diketahui.

 

Kemudian, sekitar Julai 2014, Fairus mula menggunakan gelaran akademik tertinggi, iaitu “Profesor” pula, lapor portal itu lagi. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.