Dr Mahathir Perlekeh Himpunan RUU 355, Dakwa Himpunan Bersih Lagi Ramai

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad memperlekehkan jumlah kehadiran orang ramai semasa Himpunan RUU 355 anjuran Pas pada Sabtu lalu dengan mendakwa himpunan Bersih lebih banyak lagi orang ramai hadir.

 

Kira-kira lebih 50,000 kehadiran dengan lautan baju ungu yang membanjiri Padang Merbok seawal 2 petang dan berakhir jam 11 malam.

 

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak melihat himpunan tersebut seramai dengan himpunan Bersih anjuran pemimpin pembangkang pada November tahun lalu.

 

“Saya tak nampak banyak orang, tapi katanya puluh ribu orang dalam hujan mereka sembahyang desak supaya diluluskan RUU 355 dalam Dewan Rakyat oleh semua Ahli Parlimen beragama Islam.

 

“Kalau nak banding dengan Bersih, tak ada desakan keagamaan dalam Bersih tapi lebih 100,000 orang sertai Bersih,” kata beliau semasa menghadiri majlis Tahun Baru Cina anjuran PKR Bandar Tun Razak di Flat Seri Johor di Cheras semalam.

 

Beliau juga mengecam himpunan tersebut yang disifatkannya sebagai lebih berniat politik.

 

“Tapi apa niatnya, dalam Islam amat penting niat, kalau niat nak menang pilihan raya itu salah tapi kalau niat nak majukan Islam itu baik lah.

 

“Tapi nampaknya niat itu untuk politik, jadi dah salah,” katanya.

 

Dr. Mahathir juga menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan RUU 355 dibawa oleh Pas dengan mendakwa ia undang-undang yang tidak adil dan bertimbang rasa.

 

“Ini nak sebat 100 kali, mati lah kalau sebat 100 kali, kalau masuk jel 30 tahun habis lah riwayat dia.

 

“Ini bukan cara Islam, cara Islam adalah yang adil dan bertimbang rasa,” katanya.

 

RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Pada 24 November tahun lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.

 

Himpunan baru-baru ini diadakan bertujuan untuk mendapatkan sokongan menjelang sidang Dewan Rakyat Mac ini.

 

Antara pindaan dicadangkan dalam RUU 355 ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.