‘Dia Baru Saja Sertai Kelab Berbasikal’

JOHOR BAHRU – Ibu kepada seorang mangsa yang meninggal dunia akibat dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, kelmarin memaklumkan anak bongsunya itu baru sahaja menyertai kelab berbasikal sejak sebulan lalu.

 

Menurut Mayang Morni M Noor, 34, sebelum ini, arwah Muhammad Shahrul Nizam
Maruddin,14 yang kini pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat tinggal di Kampung Semerah Darat, Batu Pahat.
Anak lelakinya itu sebelum ini berada di bawah jagaan datuknya di kampung sejak kecil dan mengambil keputusan membawa arwah yang dipanggil adik itu untuk tinggal bersama di Flat Desa Mutiara, Bandar Dato’ Onn sejak tiga bulan lalu.

 

“Saya jadikan ia satu pengajaran dalam hidup dan tidak mahu menyalahkan sesiapa dan reda dengan pemergian arwah dan yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

 

“Saya dan bapa tirinya sentiasa memantau pergerakannya, jika dia ingin menyertai aktiviti berbasikal agak jauh kami akan hantar dan menunggu sehingga ia selesai. Jadi tuduhan kami membiarkan anak bebas keluar adalah tidak benar.

 

“Pada hari kejadian dia memaklumkan hanya mahu keluar sebentar untuk bertemu dengan rakannya di bawah blok ini. Pada mulanya memang dia ada di situ sebelum ‘hilang’ tanpa membawa telefon bimbit dan kad pengenalan,”katanya.

 

Sementara itu bapa tiri mangsa, Ahmad Ariffin, 55 berkata, buat masa ini keluarganya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengenai kemalangan berlaku.

 

“Ini bukan masanya untuk menuding jari siapa betul siapa salah, kami menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

 

“Kepada seluruh ibu bapa, jadikan apa yang berlaku pada keluarga ini sebagai pengajaran dan memantau setiap aktiviti anak-anak. Pada saya jika masih berbasikal di jalan raya sehingga tengah malam ia adalah gejala tidak sihat,”katanya.-sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.