Anak Saya Masih Kecil Untuk Bekerja – Hairul Azreen

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hairul Azreen Idris, 28, mengaku banyak menerima tawaran kerja membabitkan beliau sekeluarga, namun terpaksa menolaknya berikutan anak sulungnya, Yusuf Iskandar, masih begitu kecil.

 

Menurut pelakon yang bakal menemui penonton dengan filem Pak Pong ini, anak lelakinya itu baru berusia tujuh bulan, justeru beliau berasakan belum masanya si kecil terbabit aktif muncul di kaca televisyen.

 

“Saya sebenarnya tidak suka anak kecil saya bekerja. Pada masa sama saya tahu, ia mungkin rezeki Yusuf, tetapi buat masa ini biarlah dia membesar secara normal dulu.

 

HAIRUL Azreen bersama anak sulungnya, Yusuf Iskandar.

 

“Ramai yang menawarkan pekerjaan kepada kami sekeluarga, tetapi saya keberatan untuk menerimanya. Kalau boleh, biarlah kami berdua saja yang bekerja buat masa ini. Orang ramai masih boleh datang dan melihat anak kami pada majlis-majlis terbuka,” katanya.

 

Kata Hairul, jika diikutkan, mereka juga agak keberatan untuk melaksanakan program Hairul Hanis Junior, begitupun mujur pihak produksi memahami kehendak dirinya dan isteri, Hanis Zalikha.

 

Program terbabit adalah rancangan realiti pertama yang menampilkan mereka bertiga. Ia memaparkan perjalanan kedua-dua selebriti itu berkongsi detik manis menyambut pertama hati sulung.

 

Yusuf pula tidak syak antara anak selebriti paling popular ketika ini. Malah, akaun Instagram diwujudkan ibu bapanya sehingga kini mengumpul hampir sejuta pengikut.

 

Hairul juga berkata, beliau dan isterinya turut memperlahankan kerjaya lakonan masing-masing bagi memberikan tumpuan terhadap keluarga.

 

Begitupun kata lelaki ini, beliau akan tampil dengan sebuah drama siaran TV3 tidak lama lagi, selepas berehat panjang daripada bidang terbabit.

 

“Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi drama Dia Semanis Honey, yang ditayangkan pada tahun lalu. “Jujurnya, dalam setahun saya hanya mengambil sebuah tawaran lakonan. Selepas drama itu meletup, saya berhenti sekejap daripada berlakon.

 

“Saya juga tidak terbabit dalam pementasan teater muzikal drama itu, baru-baru ini,” katanya yang bakal memainkan watak utama dalam drama terbaru nanti.

 

Hairul, yang teruja untuk kembali bekerjasama dengan stesen televisyen berkenaan berkata, beliau sebenarnya turut menerima tawaran untuk muncul di beberapa TV lain, namun perlu mengetepikannya dulu.

 

“Bukannya saya sombong enggan menerima tawaran mereka, tetapi saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya boleh cakap pada pihak produksi untuk balik awal.

 

“Mungkin sekali atau dua berbuat begitu boleh lagi, tetapi kalau asyik hendak pulang awal, orang lain pun akan menyampah juga. “Jadi, daripada menyusahkan orang, lebih baik saya tidak ambil tawaran terbabit,” katanya yang turut memberikan fokus kepada perniagaan diusahakan bersama isteri.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.