Video: FAM Calonkan Gol Ajaib Faiz Subri Untuk Anugerah Puskas – KJ

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka menghantar pencalonan gol lencong luar biasa Mohd Faiz Subri kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi anugerah Puskas FIFA selewat-lewatnya minggu depan.

 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini, sebentar tadi.

 

Katanya, pencalonan untuk anugerah gol terbaik dunia itu perlu dilakukan secara rasmi oleh persatuan kebangsaan sendiri.

 

“Saya difahamkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bahawa pihaknya akan mencalonkan gol terbabit kepada FIFA untuk dibuat penilaian pada minggu hadapan,” katanya.

 

Gol lencong luar biasa daripada sepakan percuma Mohd Faiz ketika aksi Pulau Pinang menentang Pahang minggu lalu menggegar kancah bola sepak antarabangsa apabila dianggap lebih baik atau hampir menyamai tendangan percuma dilakukan legenda bola sepak Brazil, Roberto Carlos pada 1997.

 

Ada juga menyifatkan gol itu sebagai ‘gol ajaib’ memandangkan ia dilihat seperti ‘melanggar’ hukum fizik, selain turut layak menjadi pencabar anugerah Puskas FIFA bagi jaringan gol tercantik.

 

Pada aksi terbabit yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu, Harimau Kumbang mudah menewaskan Tok Gajah 4-1. – BHarian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.