Sabrina Tinggalkan Dunia Kemurungan

KUALA LUMPUR – Pelakon Sabrina Ali, 35, mengakui pernah berdepan kemurungan teruk selepas perkahwinan keduanya dengan Syed Amirul Syed Ahmad berakhir dengan perceraian pada Ogos 2014.

 

Sejak itu, wajahnya tidak lagi muncul di kaca televisyen dan Sabrina lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada kerjaya lain iaitu peragaan.

 

“Selepas berkahwin, saya terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan kerana bekas suami tidak begitu menggalakkan.

 

Disebabkan lama menjauhi industri, saya berubah menjadi anti-sosial.

 

“Saya juga padamkan semua akaun sosial kerana tidak mahu berkongsi kehidupan peribadi dengan peminat. Disebabkan sudah lama tidak menghadiri acara hiburan, ramai menyangka saya sudah bersara.

 

“Apabila berpisah, saya bina semula kerjaya dengan menyertai dunia peragaan. Alhamdulillah, pendapatan daripada bidang peragaan banyak membantu saya untuk meneruskan hidup.

 

“Syukur kerana kebelakangan ini, penerbit sudah mula menyedari kemunculan semula saya dan peluang berlakon kini kembali,” katanya.

 

Ibu kepada tiga anak itu, bagaimanapun tidak pernah menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku.

 

Selepas hampir dua tahun, Sabrina juga sudah melupai kekecewaan yang pernah dilaluinya itu dan bersedia untuk kembali berumahtangga seandainya ditakdirkan bertemu jodoh semula.

 

“Selepas dua kali berdepan dengan kegagalan rumah tangga, saya semakin berhati-hati terutama dalam soal pemilihan jodoh. Jika diikutkan, saya mempunyai ramai kawan lelaki. Tetapi untuk kembali berumahtangga, saya serahkan kepada Allah.

 

“Saya percaya Tuhan mempunyai perancangan terbaik untuk setiap hamba-Nya. Sementara itu, saya fokuskan dulu perhatian dengan mencari wang untuk membesarkan anak-anak,” katanya.

 

Sabrina berkata, kemunculannya dalam filem terbaharu arahan Syamsul Yusof, Munafik memberinya semangat baharu untuk kembali meraih perhatian peminat.

 

Akui Sabrina, Syamsul banyak memberinya semangat supaya kembali meneruskan kerjaya lakonan malah mahu bersama-sama mengulangi sejarah yang pernah mereka cipta ketika membintangi Khurafat.

 

“Walaupun sudah lama menjauhi lakonan, peminat masih ingat watak saya dalam filem itu. Syukur kerana walaupun tidak banyak filem yang saya bintangi, tetapi peminat tidak pernah lupa kehadiran saya.

 

“Susah untuk bertahan dalam industri jika tidak disokong dengan watak yang berkesan. Ia lebih sukar apabila industri kini dibanjiri ramai muka baharu. Saya tidak akan salahkan sesiapa jika peluang untuk terus berlakon semakin mengecil.

 

“Saya akur kerana pemilihan pelakon untuk sesebuah produksi ditentukan stesen TV. Saya hanya mampu berusaha dan pada masa sama, bekerja keras mencari rezeki tiada yang datang mudah dalam hidup ini,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.