Kenyataan Dhaka Tribune Palsu Kata Kedutaan Bagladesh

Kuala Lumpur – Kedutaan Tinggi Bangladesh hari ini menafikan laporan media  Dhaka Tribune kononnya pengumuman membekukan pengambilan pekerja asing yang dibuat oleh kerajaan Malaysia semalam hanya untuk memenangkan rakyat di negara ini yang menentang pengambilan pekerja asing.

 

Kaunselor Pekerjaan, Md Sayedul Islam ketika dihubungi SuaraTV berkata, Pemangku Setiausaha Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Begum Shamsun Nahar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang dilaporkan itu.

 

“Saya telah menghubungi Setiausaha MoEWOE, Begum Shamsunnahar bagi mendapatkan pengesahan berhubung laporan tersebut.

 

“Menurutnya, beliau tidak pernah membuat kenyataan tersebut dan meminta saya untuk maklumkan laporan akhbar tersebut adalah tidak benar dan palsu” katanya ringkas sebentar tadi.

 

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed turut menafikan laporan tersebut.

 

Nur Jazlan turut menegaskan proses membawa pekerja asing tidak boleh dilakukan secara senyap kerana semua proses pendaftaran dilakukan secara atas talian dan sangat telus.

 

“Itu tidak benar. Sebab itu cara daftar masuk pekerja asing yang kita hendak buat ini secara ‘online’. Maka ia akan lebih telus,” katanya.

 

Menurut Nur Jazlan pembekuan pengambilan pekerja asing yang diumumkan itu tidak hanya terpakai kepada Bangladesh tetapi semua negara.

 

Dhaka Tribune melaporkan, kerajaan Malaysia masih akan mengambil pekerja dari Bangladesh seperti dipersetujui dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 18 Februari lalu.

 

Laporan itu memetik kenyataan Pemangku Setiausaha Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Begum Shamsun Nahar.

 

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing termasuk dari Bangladesh.

 

Pengumuman itu sehari selepas kerajaan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh.

 

Kerajaan turut menjelaskan jumlah 1.5 juta rakyat Bangladesh itu adalah mereka yang mendaftar dengan pihak berkuasa negara berkenaan untuk bekerja di 139 negara termasuk Malaysia. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.