Tindakan Balotelli Tiada Rasa Hormat – Gerrard

LONDON: Steven Gerrard menuduh rakan sepasukannya Mario Balotelli tidak memiliki rasa hormat selepas penyerang Itali itu mencipta kontroversi ketika perlawanan Liga Europa menentang Besiktas, awal pagi tadi.

 

Balotelli menjaringkan gol kemenangan The Reds pada minit ke-85 menerusi penalti yang memastikan kemenangan 1-0 tuan rumah di Anfield namun penalti itu dirampasnya daripada kapten, Jordan Henderson yang diarahkan melakukan sepakan.

 

Berlaku sedikit ketegangan dia antara Balotelli dan Henderson dan Gerrard, yang tidak beraksi pada perlawanan itu kerana cedera dan bertugas sebagai pengulas TV, tidak gembira dengan apa yang dilihatnya.

 

“Jordan sepatutnya mengambil penalti itu. Peraturan tetap peraturan. Ia sepatutnya Henderson. Mario tidak sepatutnya bersikap seperti itu,” kata Gerrard kepada ITV Sport.

 

“Tahniah juga kepada Mario, dia menjaringkan gol namun tidak baik untuk melihat dua pemain bertekak. Saya fikir Jordan mengendalikan situasi itu dengan amat baik.

 

“Dia dapat melihat Mario amat terdesak untuk menjaringkan gol. Jordan melangkah ke tepi pada masa yang sesuai dan mengendalikan sidang media selepas perlawanan dengan amat baik.

 

“Jordan adalah kapten dan Mario menunjukkan sedikit rasa tidak hormat di sana, namun dia menjaringkan gol yang penting.

 

“Saya fikir enam atau tujuh pemain mahu mengambil penalti itu jadi jika mereka semua bersuara mahu penalti itu, apa yang akan terjadi? Ada sebab mengapa peraturan dibuat.”

 

Balotelli di kelabnya sebelum ini sering diberikan tugas untuk mengambil penalti.

 

Begitupun, pada perlawanan itu, bekas pemain Manchester City itu hanya dimasukkan selama 22 minit. – Reuters / BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.