Terpaksa Makan Nasi Gaul Garam

KANGAR – Di kala insan lain sedang enak menikmati sarapan pagi bersama keluarga, sebuah keluarga di Kampung Pak Lengah, Kuala Perlis, dekat sini terpaksa menunggu sehingga petang untuk makan.

 

Nurparishah Harun, 33, bersama lima anaknya hanya akan makan setelah suaminya, Zainudin Yahya, 26, pulang dari kerja untuk makan bersama bagi menjimatkan perbelanjaan harian mereka.

 

Menurutnya, suaminya bekerja sebagai tukang rumah dan tidak mempunyai gaji tetap menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut di sebelah pagi.

 

“Setiap hari menu kami cuma telur dan ikan kering. Sekiranya anak nak makan di sebelah pagi, saya akan masak nasi dan menggaulkannya dengan garam.

 

“Kalau nak makan berlauk, kami perlu tunggu suami balik dan makan bersama,” katanya.

 

Nurparishah berkata, disebabkan kesusahan hidup yang dihadapi, tiga anaknya tidak dapat dihantar ke sekolah.

 

“Anak sulung saya, Mohd Hafiz yang berusia 17 tahun pernah bersekolah sehingga darjah enam manakala Nuraziranasha, 10, dan Mohd Hazif, 7, langsung tidak pernah bersekolah serta tidak tahu membaca.

 

“Dua lagi anak berusia empat dan setahun masih tidak mempunyai sijil kelahiran namun saya bercadang ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis selepas ini bagi mendaftarkan kelahiran mereka,” katanya.

 

Katanya, dia sememangnya mahu anak-anaknya ke sekolah tetapi suaminya cuma berpendapatan kira-kira RM300 sebulan.

 

“Mujur Mohd Hafiz keluar kerja cuci kereta memperoleh RM10 sehari dan wang itu dapatlah guna beli keperluan harian kami.

 

“Empat anak saya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM100 setiap seorang dan wang itu digunakan untuk bayar sewa rumah sebanyak RM200 sebulan,” katanya.

 

Bagi yang ingin membantu Nurparishah, boleh menghubungi di talian 014-9018743. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.