Semua Pihak Perlu Halang IS – Mufti Perak

SHAH ALAM – Semua lapisan masyarakat Islam di negara ini sebenarnya berperanan untuk mengelakkan lebih ramai anak muda terjerat dengan fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS).

 

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, walaupun pendakwah dianggap ejen terbaik menyampaikan maklumat mengenai fahaman songsang IS, usaha itu perlu disokong semua pihak supaya ia dapat disampaikan secara holistik dan terbaik.

 

“Memanglah kita ada ramai pendakwah yang boleh memberi penerangan terhadap isu ini kepada masyarakat Islam. Tetapi dalam masa sama, ibu bapa, guru dan lapisan masyarakat yang lain harus sama-sama memberikan bantuan.

 

“IS boleh jadi isu besar kalau kita tidak sama-sama memberitahu apa sebenarnya di sebalik kumpulan ini. Ramai yang terpengaruh kerana dikatakan perjuangan menuntut hak Islam dan untuk mendapatkan jihad, sedangkan kumpulan ini sudah jauh tersasar dari landasan Islam sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Selasa lalu, seorang remaja perempuan berumur 14 tahun ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana dipercayai cuba menyertai jihad kumpulan militan IS di Syria.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pelajar tersebut membuat persiapan untuk perjalanan ke Syria menerusi Mesir dan polis percaya remaja tersebut mempunyai rakan atau orang hubungan di Mesir.

 

Harussani berkata, jika semua pihak tidak sama-sama membantu, lebih ramai anak muda akan terlibat dengan IS.

 

“Peranan pendakwah perlu diperluaskan dalam memberi ajaran sebenar mengenai Islam dan bukannya mengenai jihad ke luar negara sehingga boleh memesongkan pemikiran anak-anak muda di negara ini.

 

“Gunakanlah peranan ini sebaik-baiknya. Isu IS ini sebenarnya bukan isu kita. IS itu sendiri sudah tergelincir dari landasan Islam. Tidak ada tertulis pun dalam Islam dibolehkan untuk membunuh wanita, kanak-kanak atau mereka yang tidak berdosa. Jadi untuk apa anak-anak muda kita terpengaruh dengan kumpulan itu? Mereka sengaja menggunakan nama Islam untuk mengaburi pemikiran kita sahaja,” katanya.

 

Beliau berkata, banyak saluran boleh digunakan termasuk radio, televisyen dan laman sosial untuk penerangan mengenai IS.

 

“Saya bimbang, jika semua isu agama diserahkan kepada pendakwah atau orang-orang agama sahaja, perkara ini tidak akan dapat diselesaikan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.