TNB Nasihat Pengguna Supaya Guna Penghawa Dingin Secara Bijak

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan para pengguna supaya menggunakan penghawa dingin secara bijak ketika cuaca panas dan kering ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, ia bagi menjamin penggunaan elektrik diuruskan dengan lebih baik.

“Penghawa dingin mewakili sebahagian besar penggunaan elektrik sebilangan pengguna kami,” kata Mohd Aminuddin dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau juga menyarankan para pengguna supaya mengamalkan tip-tip berikut bagi menjimatkan penggunaan tenaga:

– Laraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 ke 25 darjah celsius.

– Tukar atau bersihkan penapis penghawa dingin dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut. Penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan penghawa dingin.

– Selain itu, penyelenggaraan secara kerap juga boleh membantu penghawa dingin beroperasi padatahap optimum.

– Tutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik.

– Pada waktu malam, buka kipas dan tetapkan masa penghawa dingin untuk ditutup. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa selepas beberapa jam penghawa dingin dipasang. Tambahan, penggunaan kipas adalah lebih murah dan membantu pengedaran udara di dalam bilik.

Selain itu, Mohd Aminudiin juga mengingatkan para pengguna agar menggantikan penghawa dingin yang berusia lebih 10 tahun kerana unit-unit tersebut tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.

Katanya bagi mereka yang ingin membeli penghawa dingin baharu, adalah dicadangankan supaya memilih penghawa dingin yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut lebih cekap berfungsi.

Katanya lagi pemilihan saiz dan jenis penghawa dingin yang tepat juga penting kerapa penghawa dingin yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malahan ia juga akan menyebabkan bil elektrik yang lebih tinggi kerana kompresor penghawa dingin perlu berputar dan berhenti berulang-ulang.- astro awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.