Pihak Pendakwa Bantah Najib Mohon Panggil Pakar Periksa Ketulenan Tandatangan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes SRC International yang memasuki hari ke-70 hari ini menyaksikan pihak pendakwaan membantah dan mempertikaikan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu pakar tulisan dipanggil bagi memeriksa kesahihan tandatangannya.

Najib memohon supaya beberapa dokumen penting transaksi SRC disemak ketulenan tandatangannya terlebih dahulu sebelum diterima sebagai bahan bukti eksibit mahkamah

Memetik laporan MalaysiaGazette, Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berkata, pihaknya dari awal perbicaraan sudah melahirkan kesangsian terhadap beberapa tandatangan pada dokumen berkenaan.

Dokumen-dokumen itu telah diserahkan kepada mahkamah oleh pasukan pendakwa ketika perjalanan kes itu dengan memanggil beberapa saksi.

Menurut Harvinderjit Singh, sejak awal lagi ketulenan tandatangan Najib pada dokumen-dokumen itu tidak dapat ditentukan dan justeru itu seorang pakar tulisan tangan dari Australia, Dr Steven wajar diminta hadir bagi memeriksa serta memberikan pandangan di mahkamah.

“Dr Steven hanya sekadar melihat salinan imbasan dokumen itu, yang diberikan oleh kami dan mahkamah perlu memberi kebenaran kepada beliau untuk hadir sendiri dan memeriksanya secara fizikal,” hujahnya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali  dipetik dari laporan sama.

Sejumlah 35 eksibit dokumen telah digunakan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Najib untuk tujuh dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang dari SRC International.

Dari jumlah itu, sebanyak 13 dokumen dipertikai oleh pihak pembelaan kerana kesangsian pada kesahihan tandatangan pada dokumen berkenaan.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram dalam hujah bantahannya mempertikaikan permohonan Najib itu dengan mendakwa ia adalah mala fide atau berniat jahat.

Dalam hujahnya, V. Sithambaram mempersoalkan kenapa pihak pembelaan tidak mengemukakan bantahan penerimaan dokumen SRC International pada peringkat awal perbicaraan

“Ini tidak lebih daripada cubaan untuk meminta mahkamah menukar atau memperbaharui keputusan dengan tidak berasas oleh pembelaan.

“Mahkamah tidak seharusnya membenarkan permohonan bela untuk memanggil pakar tulis tangan dari Australia untuk beri keterangan berhubung tandatangan itu ketika ini. Ini adalah langkah taktikal oleh pembelaan,” tegasnya.

Pada awal Disember 2019 lalu, ketika pihak pembelaan memberitahu mahkamah untuk memanggil pakar tulisan berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya itu menggesa pihak pembela mengemukakan permohonan rasmi.

“Saya mahu pertikaikan perkara ini secara rasmi, dan mereka harus buat satu permohonan rasmi dan kemukakan satu afidavit untuk kami jawab,” kata Timbalan Pendakwa Raya.

Najib sebelum ini mengakui muncul keraguan terhadap kesahihan tandatangannya pada beberapa dokumen berkenaan kerana ada antaranya ditandatangan ketika beliau berada di luar negara.

“Selepas menyemak dokumen-dokumen mengandungi tandatangan saya yang diberi oleh pendakwa raya kepada kita, kita juga ragu bahawa ada beberapa dokumen yang tidak mungkin saya telah tandatangan kerana pada tarikh tersebut saya ada diluar negara.

“Kita juga mendapati bukti bahawa ada dokumen yang kononnya mengandungi tandatangan saya dihantar kepada bank selepas 3 minit sahaja setelah diminta oleh bank.

“Sebab itu, peguam dan saya berpendapat bahawa kita perlu pakar untuk mengesahkan dokumen-dokumen yang didakwa ada tandatangan saya dan kita telah memohon kepada mahkamah,” ujar Najib dipetik dari Facebook beliau. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open

Close