Ketua Hakim, Peguam Negara Tertakluk Kod Etika, Elak Dilihat Akrab Dengan Peguam – Persatuan Peguam

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Peguam Negara didesak untuk menjelaskan mengapa mereka berada di atas pentas dan menari semasa berlangsungnya Opening of Legal Year (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak.

Ini kerana, mereka sudah mengetahui Menteri Persekutuan dan peguam-peguam persendirian ada sama dan penyertaan mereka itu akan menimbulkan tohmah kepada institusi yang sedang mereka ketuai.

Lagipun, sangat jelas apabila ketiga-tiga cabang iaitu kehakiman (Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan beberapa hakim lain), Eksekutif (Menteri Undang-Undang) dan Legislatif (Peguam Negara yang menggubal undang-undang), ditambah pula dengan beberapa peguam persendirian menari dengan gembira berkongsi satu pentas.

Berikutan itu, timbul persoalan adakah insiden ini memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengakui majlis makan malam yang menjadi tradisi badan kehakiman dan guaman itu bukan baharu.

Tetapi persoalannya mengapa individu-individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari dan kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan lain serta peguam persendirian, seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka sehingga boleh menjejaskan keadilan.

“Walaupun dijemput ke pentas, bagi memelihara kesucian institusi yang mereka ketuai, sewajarnya mereka menolak jemputan tersebut kerana menimbulkan fitnah.

“Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Persendirian menari sepentas di Sabah yang tular semalam.

Zainul Rijal berkata, beliau sedar terdapat beberapa kalangan peguam dan badan eksekutif yang mempertahankan insiden tersebut dengan pelbagai alasan termasuk menjadi norma lazim para peguam dan hakim mengadakan majlis makan malam dan berdansa.

Ekoran itu, tidak menimbulkan sebarang wasangka serta tiada perlanggaran etika.

Tetapi, tegasnya, hakim-hakim tertakluk kepada Kod Etika Hakim 2009 yang mana:

(1) Seseorang hakim hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam kod tersebut dan
(2) Pelanggaran mana-mana peruntukan yang ditetapkan dalam kod ini boleh menyebabkan seseorang hakim dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan kod ini.

Dalam mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman;

5. Seseorang hakim hendaklah menjalankan fungsi kehakiman dengan bebas berdasarkan penilaian tentang fakta dan mengikut pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada apa-apa pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau bagi apa-apa sebab.

Mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman

6. (1) Seseorang hakim hendaklah pada setiap masa, berkelakuan mengikut cara yang menggalakkan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman.

(2) Seseorang hakim tidak boleh : (a) membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya.

Dalam melaksanakan tugas-tugas kehakiman dengan adil dan cekap

7 (8) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan mengikut cara yang tidak wajar sebagai seorang hakim atau yang boleh membawa atau dikira akan membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

Dalam bab mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktivitu luar kehakiman

8. (1) Seseorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak: –
(a) menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim;

(2) Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah

(7) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini adalah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian aduan perlulah dibuat kepada Perdana Menteri agar membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan terhadap Ketua Hakim dan kepada Ketua Hakim bagi Hakim-Hakim yang lain mengikut etika berkenaan jika Perdana Menteri berfikir hakim-hakim tersebut wajar dipecat.

Sekiranya tidak, tindakan lain menurut undang-undang perlu diambil.

Walau bagaimanapun, tegas Zainul Rijal, ketua hakim tidak boleh menghakimi aduan tersebut kerana beliau bersama-sama di dalam majlis berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong boleh menubuhkan suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memecat hakim yang melanggar etika atau suatu tindakan menurut undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang wajar akibat perlanggaran etika kehakiman atau tidak, insiden yang ditularkan ini, mengikut Perkara 125 tersebut. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.