‘Mereka Kata Solat Saya Tak Sah’-Adam Corrie

Pernah ditegur solat tidak sah kerana bertatu, Adam Corrie Lee Abdullah bagaimanapun bersikap terbuka menangani isu tersebut.

Pengalamannya itu dikongsi menerusi laman Instagramnya (IG), petik Sinar

“Saya pernah ditegur masa solat di set filem kerana ada tatu. Mereka kata solat saya tak sah. Ada yang suruh saya buang tatu dulu. Tapi saya senyum je. Sebab saya dah tahu hukumnya.

“Bagi mereka yang bertatu before Syahada, solatnya sah. Dan tak wajib buang tatu sekiranya memudaratkan diri,” kongsinya sambil disertai #tabayyun.

Mengulas lanjut, selebriti berusia 49 tahun ini mengakui isu tersebut sering dialami oleh golongan mualaf.

“Isu biasa yang dialami oleh saudara baru. Ini bukan isu sedih ke, marah ke, tertekan ke. Suruh orang bertabah ke.

“Kebanyakan saudara baru tahu solat mereka sah. Ini cuma satu perkongsian untuk mereka yang masih tak tahu tentang perkara saudara baru yang bertatu sebelum syahadah,” jelasnya di IG.

Tidak cepat melatah, pelakon filem KL Gangster ini sebaliknya lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri.

“Saya banyak handle kes ni bersama saudara baru. Saya selalu sarankan supaya saudara baru senyum sahaja. Tak perlu berdebat dengan mereka,” katanya.

Malah, Adam mengakui sudah lali dengan teguran sebegitu.

“Saya dah biasa dengan teguran ini. Tak terasa apa-apa pon. Saya dah 10 tahun dalam Islam. Dah ok.. Sebab saya tahu bukan semua orang tahu hal ni. Ilmu setiap orang tak sama,” katanya.

Pada masa sama, pelakon filem Paloh ini turut menyarankan agar saudara baru yang bertatu mengenakan pakaian yang bersesuaian.

“Saya juga sarankan pakai baju lengan panjang, berseluar panjang supaya tatu tersebut tidak nampak orang lain. Untuk elak org salah faham,” tulisnya lagi.

Ini kerana, katanya, tatu tidak perlu dibuang sekiranya mampu memudaratkan diri selain memerlukan kos yang tinggi.

“Bukan semua saudara baru mampu buang tatu. Dan ia juga mungkin mudaratkan badan jika tapenuh di badan hendak dibuang.

“Kos tinggi. Bukan sekali sahaja treatment lazer kena buat.. banyak kali kena buat. Buat kajian sebelum berbicara,” katanya.

Sehubungan itu, pelakon filem Kapsul ini turut menggesa orang ramai agar membuat rujukan pada yang pakar berkaitan sesuatu isu.

“Saya bertatu sebelum saya mengucap dua kalimah syahadah. Lepas syahadah saya sudah Islam. Tak de la nak buat tatu di badan lagi kerana tahu hukumnya HARAM

“Kalau nak tahu pasal hukum hakam agama jangan rujuk, DM dengan saya. Saya bkn ustaz. Rujuk dengan para ilmuwan agama yang bertauliah,” tulisnya lagi.

Adam memeluk Islam pada Julai 2007 dan mendirikan rumah tangga dengan Fazima Fuad pada 21 November 2008.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.