Johan Berguru Dengan Ustaz Kazim

Menyedari Islam menuntut penganutnya mendalami ilmu sehingga ke China, dia tekad meneruskan langkah ke India tiga tahun lalu semata-mata kerana mahu mendalami kitab suci al-Quran selain sebagai satu cara mendekatkan diri dengan jalan Allah.

Berpegang kepada tuntutan itu, pelakon Johan As’ari membulatkan hati untuk tidak berhenti belajar menyelami ilmu kerohanian.

Yang lebih menggembirakan jejaka berusia 31 tahun itu ialah dia sudah merancang untuk menyambung pengajian di Pusat Pendidikan Al-Barakah yang terletak di Manjoi, Perak yang diasaskan oleh pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias.

“Pengalaman yang saya kutip ketika belajar di India adalah satu momen indah dalam hidup. Sejak dari hari itu saya terus menanam impian untuk tidak berhenti menimba ilmu agama.

“Insya-Allah, saya akan berehat selama tiga bulan bagi memfokuskan pengajian di madrasah milik Ustaz Kazim iaitu sebaik sahaja selesai penggambaran drama Jodoh-Jodoh Anisa sekitar April nanti.

“Saya rasa untuk menjadi seorang yang berilmu kena sentiasa mencari peluang tambah ilmu pengetahuan dengan orang bijak pandai. Moga-moga dengan cara memilih jalan Allah ini, saya beroleh manfaat,” katanya penuh mengharap.

Jika dahulu di New Delhi, India, dia belajar mengenai bacaan dan tafsiran Al-Quran, kali ini kata pemilik nama penuh Johan Ariff As’ari dia mahu memantapkan pula kemahiran motivasi.

Menurut bintang filem Juvana itu, selain mahu menjadi teladan kepada anak muda, tujuan utama dia menghadiri kelas terbabit sebagai mempersiap diri apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Beberapa hari sebelum saya bersetuju untuk sertai kelas ini, Ustaz Kazim ada memberitahu akan mendidik saya terutama sekali dari segi kemahiran motivasi.

“Saya bukan nak jadi seorang pendakwah atau pakar motivasi. Tapi sekurang-kurangnya apabila berhadapan dengan pihak media khususnya, kata-kata saya lebih bijak.

“Saya pun belum lagi masuk kelas itu jadi tak berani nak cakap lebih-lebih. Cuma harap perkongsian tentang hasrat saya itu akan dipandang positif dan dapat sokongan semua peminat,” kata Johan menzahirkan kesyukuran. – Gambar FARIZWAN HASBULLAH

Usah pendam perasaan

Dengan senario semasa industri hiburan yang memperlihat kemelut krisis personaliti yang dihadapi segelintir artis seperti yang dihadapi Datuk Farid Kamil dan Iqram Dinzly, Johan mengakui, menjadi anak seni bukan satu tugas atau tanggungjawab yang mudah untuk dipikul.

Sebagai rakan seperjuangan kedua-dua artis berkenaan, kata Johan, apabila menjadi orang popular dengan setiap inci kehidupan diperhati, ia menuntut tahap kesabaran yang tinggi.

Kata Johan, bergelar insan seni menyebabkan seseorang itu mempunyai ramai peminat dan harus diingat tidak semua kemasyhuran yang diperoleh itu bersifat jujur atau telus.

“Mungkin itu salah satu faktor mengapa sebilangan artis memilih untuk bersendiri. Itu memang dunia seniman.

“Dia dapat rasa kalau dirinya tidak selamat dan hanya anggap orang mendekati mereka itu sekadar mahu ambil kesempatan sebab mereka golongan artis.

“Sehingga sekarang, lingkungan rakan-rakan saya ialah terdiri dalam kalangan ahli keluarga saja. Kawan-kawan saya pun yang memang sudah kenal sebelum jadi pelakon lagi.

“Mujurlah semasa sebelum aktif berlakon saya ikut kursus tabligh dan aktiviti itu masih lagi diteruskan sampai hari ini.

“Alhamdulillah saya tak terasa bosan langsung sebab mereka ada kala saya ingin berkongsi cerita,” ujarnya berkongsi pengalaman.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.