Hishammuddin Dijadual Hadiri Mesyuarat Tergempar OIC

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dijadual menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi Ahad ini bagi membincangkan isu serangan Yaman ke atas negara itu.

Beliau berkata mesyuarat yang dihadiri semua negara anggota OIC itu dijadual diadakan di Jeddah.

“Pendirian kita jelas, kita akan bersama Arab Saudi dalam mempertahankan Kota Suci Makkah dan Madinah,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) Kedah yang turut dihadiri Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Hishammuddin berkata beliau juga akan menghadiri mesyuarat sama di Riyadh, Arab Saudi Isnin depan bagi membincangkan masa depan Yaman dari segi bantuan kemanusiaan ataupun membaik pulih negara itu.

“Mengenai kedudukan Yaman, kita bukan akan menghantar tentera pergi berperang di sana tetapi mungkin (membantu) dari segi bantuan kemanusiaan dan usaha baik pulih negara itu.

“Jadi, saya harap tiada pihak akan memutarbelitkan cerita mengenai kehadiran saya di mesyuarat tergempar itu nanti kerana saya telah pun jawab pendirian Malaysia sebelum ini,” kata Hishammuddin yang juga naib presiden Umno.

Bermula Julai tahun lepas telah berlaku beberapa siri serangan ke atas Arab Saudi oleh puak pemberontak Yaman dengan serangan terbaharu pada bulan lepas yang mana pasukan pertahanan udara Arab Saudi telah memintas peluru berpandu balistik yang dibedil ke arah Riyadh.

Malaysia sebelum ini menyatakan pendirian akan bekerjasama dengan Arab Saudi bagi mempertahankan kesucian dan kestabilan Makkah dan Madinah daripada serangan pengganas.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.