Kumpulan #BebasAnwar Akan Jelajah Kubu Umno

Sekumpulan aktivis muda berikrar untuk menjelajah kerusi kubu Umno untuk menyebarkan mesej perjuangan pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Ini adalah sebahagian daripada kempen FreeAnwar anjuran kumpulan #BebasAnwar bagi mengingatkan rakyat terhadap perjuangan Anwar dalam politik.

 

“Kami akan memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman. Mengapa? Sebab ini kubu Umno,” kata aktivis Adrian Lim kepada media selepas pelancaran tema kempen itu yang digelar ’10 tahun Anwar seorang tahanan politik’ di kediaman pemimpin PKR itu di Segambut malam tadi.

 

“(Semasa jelajah itu), kita akan menganjurkan ceramah seperti biasa. Kami akan menyediakan risalah dan buku kecil (mengandungi maklumat) status ekonomi, hutang kita dan juga perbandingan antara era Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan era Anwar,” katanya.

 

“Bagi mereka yang masih sokong Umno, masih belum terlambat untuk bertaubat, ambillah peluang ini,” katanya.

 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran jelajah tersebut, yang dijadualkan akan diadakan di Semenanjung Malaysia selepas 10 Februari, atas sebab-sebab keselamatan.

 

“Kami tidak mahu orang (seperti pemimpin baju merah) Jamal Md Yunos menunggu kita. (Kami tidak mahu) disimbah cat dan dipukul,” katanya.

 

Selain itu, katanya, kumpulan itu merancang mengadakan acara solidariti untuk Anwar pada bulan Februari dan satu lagi acara utama pada tempoh tigapemanjaraan Anwar berjumlah 10 tahun.

 

Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan atas pertuduhan liwat, telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dari tahun 1974 hingga 1976 dan menjalani hukuman penjara dari 1998 hingga 2004 selepas disabitkan atas pertuduhan rasuah dan liwat.

 

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua; kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar; pemimpin Pemuda DAP Dyana Sofia Mohd Daud dan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck turut hadir malam tadi.

 

Sementara itu, Nurul Izzah, yang bercakap bagi pihak keluarga Anwar, berkata sejarah yang melibatkan perjuangan reformasi tidak harus dilupakan.

 

“Kita berhadapan dengan media yang akan memadam setiap satu sejarah yang dilakar oleh perjuangan untuk reformasi,” katanya.

 
Tambahnya, ia bukan mengenai Anwar, tetapi tegasnya, Anwar telah membentuk tuntutan “bagi kita mengubah sistem, supaya Najib akan menjadi diktator terakhir yang pernah memerintah Malaysia”.

 

Sambil meminta supaya perkara itu disebarkan, Nurul berkata: “Kita tidak mahu sama ada Rafizi Ramli, Tian Chua, ​​Lim Guan Eng dan ramai lagi yang bakal dihadapkan ke dalam penjara kerana keberanian mereka mengkritik pemimpin yang zalim dan diktator”.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.