Peminat kecam Emma

Tindakan pelakon Harry Porter, Emma Watson, 25, memuat naik kembali kenyataan mengenai feminis daripada pelakon Alan Rickman yang meninggal dunia akibat kanser, baru-baru ini, mengundang kecaman ramai.

 

Emma didakwa cuba memanipulasi kematian Alan yang turut berlakon bersamanya dalam siri Harry Porter dengan memuat naik kenyataan mendiang di Twitternya, Khamis lalu.

 

Alan ketika hayatnya pernah mengeluarkan kenyataan itu yang berbunyi, ‘tidak salah seorang lelaki untuk menjadi feminis, saya rasa ia satu kelebihan yang sama rata’.

 

Emma sebelum ini dilantik sebagai duta oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lantang memperjuangkan agenda feminis.

 

Emma dikatakan menggunakan kematian Alan bagi menyebarkan agenda feminisnya dan ia disifatkan sebagai keterlaluan hingga mengundang kemarahan ramai.

 

Ramai beranggapan caranya mengambil kesempatan begitu sangat kurang ajar.

 

“Jadi si feminis Emma Watson gunakan kematian Alan Rickman untuk mengangkat agendanya. Menyedihkan. Jijik. Antara sebab lain kenapa saya lebih ‘meninis’,” kata seorang peminat.

 

Kesempatan itu juga nampaknya memberi ruang kepada individu yang memang bukan peminatnya untuk melepaskan kemarahan.

 

“Saya tidak pernah menyukai Emma Watson. Dia memang bagus sebagai Hermoine tapi tak tahan dengan peribadinya serta agenda neofeminisnya,” antara komen pengguna Internet lain.

 

Alan yang dikenali dengan watak Prof Snape dalam siri Harry Potter sebelum ini pernah berbicara mengenai isu gender sama rata.

 

“Saya sentiasa berasa feminis adalah pengetahuan asas. Adakah saya hidup di dunia dan khasnya perniagaan yang sangat tidak adil terhadap wanita? Ya, benar,” kata mendiang tidak lama dulu.

 

Emma setakat ini belum membalas sebarang komen negatif itu. Ramai pengikutnya juga turut berkongsi semula petikan Alan yang dimuat naiknya itu.

 

Terdahulu, pelakon jelita itu turut melahirkan kesedihan terhadap pemergian pelakon berkenaan.

 

“Saya sangat sedih dengan pemergian Alan. Saya sungguh bertuah sempat bekerja serta meluangkan masa dengannya. Dia adalah insan yang sangat istimewa sebagai lelaki dan juga pelakon. Saya benar-benar rindu berborak dengannya. Rehatlah Alan. Kami semua sayang kamu,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.