Zainuddin Maidin Umum Berhenti Dari Penulisan Politik

Kuala Lumpur – Kecewa dituduh berkonspirasi mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin membuat keputusan berhenti daripada penulisan politik, menjadi penulis blog berprofil tinggi Umno pertama yang melakukan tindakan sedemikian.

 

Dalam artikel “Salam Terakhir Zam Pada Penulisan Politik Semasa” yang dimuat naik beliau di laman blog zamkata.blogspot.com, Zainuddin, yang lebih dikenali sebagai Zam kecewa kerana seringkali dianggap mempunyai “sandaran” meskipun bergerak secara bersendirian.

 

“Setelah menimbang dari semua aspek, kepentingan, kedamaian dan ketenteraman jiwa dari ugutan, tekanan dan pencemaran nama pada hari tua, maka saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada penulisan politik semasa yang menjadi pengisian utama blog zamkata sejak dilancarkan pada 8 Ogos 2012,” katanya dalam blog tersebut.

 

“Maka teguran tidak lagi dianggap sebagai sokongan,” tulisnya kecewa.

 

Beliau berkata, disebabkan perbezaan pendapat, kepercayaan dan setia kawannya kepada kepimpinan politik yang bersandarkan sejarah dan kejayaan tercemar.

 

“Saya amat tersinggung apabila kekuatan saya sendiri dianggap sebagai bergantung pada orang lain. Ini bukanlah kejatian dan keperibadian diri saya berdekad dalam dunia kewartawanan,” katanya.

 

“Saya merasa cukup terhina kerana bagitu mudah orang membuat kesimpulan. Sekali saya minum pagi bersama Tun Daim Zainuddin atas jemputan dan menemui Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) bersama seorang dua rakan dianggap saya berada dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib.”

 

Zainuddin turut mempersoalkan, jika tindakannya bersarapan dengan Daim dan menemui Dr Mahathir dianggap berkonspirasi menjatuhkan Najib, apakah tindakan media arus perdana memberikan liputan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dianggap sebagai kerjasama ketua pembangkang dengan perdana menteri.

 

“Bolehkah saya juga membuat kesimpulan dengan TV3 media mesra Umno menyiarkan ancaman Anwar untuk membongkar keburukan bekas Daim bererti Najib berkonspirasi dengan Anwar untuk mengekalkan kedudukannya?

 

Menurut Zainuddin, blog zamkata miliknya dilancarkan pada 8 Ogos 2012 sudah mempunyai lebih 1.5 juta pelawat.

 

“Sepanjang lebih 50 tahun dalam bidang kewartawanan, saya tidak pernah menjadi penulis upahan,” kata Zam.

 

“Saya tidak mempunyai kawan sejati dalam politik, kerajaan, atau mana-mana pertubuhan, kecuali rakan-rakan wartawan,” katanya.

 

Zainuddin di antara penulis blog Umno yang mengkritik kepimpinan Umno secara terbuka.

 

Minggu lepas Zainuddin yang juga bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia berkata, Daim dan Dr Mahathir tidak akan merendahkan martabat mereka dengan mendedahkan maklumat “menyelerakan” Najib.

 

Mengakui terdapat “perang saraf” di antara penyokong Najib yang mengawal media arus perdana terhadap pengkritik termasuk kedua-dua bekas pemimpin negara itu, Zainuddin berkata beliau sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku.

 

“Dari awal lagi saya sebagai wartawan tua yang mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam perang saraf menjangkakan serangan peribadi TV3 terhadap bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, pastinya umum akan merujuknya sebagai arahan serta mendapat keizinan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib,” tulis Zainuddin.

 

“Walaupun saya sering dikatakan sebagai orang (Dr) Mahathir tetapi saya berharap saya tidak dianggap sebagai sekutu Daim kerana menyokong pandangan Kadir dalam posting terbarunya yang melihat kecaman terhadap Daim akan menikam balik Najib dan menghakiskan lagi kewibawaannya,” kata Zainuddin merujuk kepada tulisan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin.

 

Selari dengan pandangan Kadir, Zainuddin berkata tindakan menyerang Daim menggunakan media dikawal Umno bukanlah permainan politik yang bijak.

“Maka saya nampak ini bukanlah suatu permainan politik atau perang saraf yang bijaksana tetapi permainan politik kotor, tidak beretika, tidak profesional dan sangat rendah caranya serta kualiti yang tidak sepatutnya datang daripada Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

 

Berikut adalah tulisan penuh beliau :

 

SALAM TERAKHIR ZAM PADA PENULISAN POLITIK SEMASA
TUN M :”NABI PUN TAK BOLEH BETULKAN DUNIA”

 

SALAM TERAKHIR………

 

Setelah menimbangkan dari semua aspek, kepentingan kedamaian dan ketenteraman jiwa dari ugutan,tekanan dan pencemaran nama di hari tua , maka saya mengambil keputusan untuk berhenti dari penulisan politik semasa yang menjadi pengisian utama blog zamkata sejak dilancarkan pada 8 ogos 2012.

 

Setakat ini pengunjung blog ini telah mencapai lebih 1.5 juta dan pelawat setiap hari antara dua ribu hingga tiga ribu lebih dan pernah mencapai antara lapan hingga sepuluh ribu bergantung kepada sesuatu isu semasa.

 

Sepajang lebih 50 tahun dalam bidang kewartawanan, saya tidak pernah menjadi penulis upahan. Berkhidmat kepada Utusan Melayu dengan kesetiaan kepada dasar kepartian dan kepimpinannya dan tidak tunduk kepada fiction. Maka itu saya tersingkir dari Ketua Pengarangnya.

 

Penulisan buku mengenai Tun Dr. Mahathir (Mahathir Di Sebalik Tabir) dan Tun Abdul Razak ( Jejak Bertapak Seorang Patriot) adalah atas kemahuan dan kerelaan saya sendiri kerana mencintai mereka sepenoh hati sebagai pahlawan dan negarawan bangsa.

 

Setelah bersara dari politik, berbagai pihak datang menemui saya meminta saya untuk mengetuai NGO, membantu sebagai penasihat parti, menawarkan jawatan pengarah syarikat atau institusi pelajaran tetapi saya telah menolak semuanya kerana saya mahu bebas dalam persaraan, kecuali meneruskan penulisan.

 

Namun demikian dalam bersendirian juga saya dianggap mempunyai sandaran.

 

Kepercayaan dan setiakawan saya kepada kepimpinan politik yang bersandarkan sejarah dan kejayaan dicemarkan oleh kerana perbezaan fikiran , penilaian dan ketakutan pada mimpi ngeri politik masa depan pihak yang semakin sedar akan kemerosotan pengaruh dan kekuatan. Maka teguran tidak lagi dianggap sebagai sokongan.

 

Saya amat tersinggung apabila kekuatan saya sendiri dianggap sebagai bergantung pada orang lain. Ini bukanlah kejatian dan keperibadian diri saya berdekad dalam dunia kewartawanan. Tun Daim dan Anwar Ibrahim yang bersama bertanggungjawab dalam menyingkirkan saya dari kedudukan jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu dalam tahun 1993 juga tahu pendirian saya.

 

Saya merasa cukup terhina kerana bagitu mudah orang membuat kesimpulan. Sekali saya minum pagi bersama Tun Daim Zainuddin atas jemputan dan menemui Tun Mahathir bersama seorang dua rakan telah dianggap saya berada dalam konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib.

 

Jika demikian,bolehkah saya juga membuat kesimpulan dengan TV3 media mesra UMNO menyiarkan ancaman Pemimpin Pembangkang Anwar Ibrahim untuk membongkar keburukan Bekas Meneri Kewangan Tun Daim Zainuddin telah bererti Najib berkonspirasi dengan Anwar Ibrahim untuk mengekalkan kedudukannya ?

 

Pada ketika-ketikanya saya ketawa pada diri sendiri kerana mimpi ngeri terhadap diri saya lebih besar dari diri saya yang sebenanrnya. Saya tidak mempunyai kawan sejati dalam politik, kerajaan atau mana mana pertubuhan kecuali rakan-rakan wartawan.

 

Saya selalu disebut oleh media sosial sebagai sekutu Mahathir atau rakan Mahathir tetapi Mahathir pernah menyatakan dalam majlis pelancaran buku ‘Jejak Bertapak Seorang Patriot Tun Abdul Razak’: “Zam adalah kawan saya tetapi kawan yang ada kalannya menyukarkan .”

 

Barangkali saya adalah di antara ribuan wartawan dan penulis yang terus mendukung idealisme kewartawanan untuk perjuangan membetulkan dunia dan manusia tetapi saya tetap sedar dengan kata-kata Dr Mahathir pada suatu hari apabila saya memberitahunya semasa menjadi Perdana Menteri tentang penyelewengan dan kecurangan orang-orang penting di dalam pemerentahannya, “ Zam, Nabi pun tak boleh betulkan dunia ini,”katanya.

 

Saya telah berkhidmat sebagai wartawan dari sejak era Perdana Menteri Pertama Tun Abdul Rahman,Tun Abdul Razak, Tun Husssein Onn hinggalah Tun Mahathir yang membawa saya ke dalam politik dan setelah bebas dari dunia politik,saya kembali menjadi penulis di akhbar dan di blog saya sendiri terutama sekali mengenai politik semasa.

 

Saya telah menyaksikan sendiri dari dekat pemimpin bertukar ganti, pemimpin yang mengkafir orang sanggup menjadi ‘kafir’, Firman Quran dan Hadis disesuaikan dengan selera sendiri untuk kuasa, Kuasa adalah kuasa, manusia adalah manusia, Yang berkuasa mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun.

 

Saya mengucapkan salam terakhir kepada peminat setia tulisan politik saya di blog ini.

 

Persaraan ini bukan bererti saya akan meninggalkan dunia penulisan tetapi akan lebih menumpu kepada sejarah negara yang saya lalui sendiri, cerita masyarakat, sosial dan agama , pengalaman yang tersirat tetapi belum tersurat dalam perjalanan panjang keseluruh pelusuk dunia sebagai wartawan. Kacamata kewartawanan tetap menjanjikan seribu satu macam kebahagian dalam ilusi, mimpi dan realiti dan tidak hanya politik.
.

Kepada rakan-rakan wartawan yang terus berjuang untuk membetulkan pimpinan negara menerusi penulisan, kuatkanlah semangat. Kehormatan diri tidak kekal dalam wang seguni. Kenalilah nilai kewartawanan sejati.
.

Dan inilah sebuah sajak dari saya” Bangunkan Semangat Jokowi” yang membuktikan saya masih percaya kuat kepada journalisme sebagai senjata demokrasi untuk reformasi dan transfomasi:

 

BANGUNKAN SEMANGAT JOKOWI

Setapak langkahku terhenti
Berjuta melangkah kedepan lagi
Dalam nyanyi semangat Jokowi
Tiada langit tiada bumi.
Tiada dinasti.

 

Mahathir dan P. Ramlee
Tidak pernah mati
Gagah suara seindah fajar pagi
Bangkitkan semangat putera putri
Ranapkan Dinasti

 

Sekali keris dipacak kebumi
Minta maaf pantang sekali
Akan terpancarlah darah rakyat sejati
Menyamakan warna langit dan bumi

 

Bangunkanlah semangat Jokowi
Mahathir dan P.Ramlee tidak pernah mati
esok pagi akan lebih indah lagi
kerana sinarnya bukan lagi Dinasti.

 

ZAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!