VIDEO: Salji Padang Pasir Di Emiriyah Arab Bersatu

Kuala Lumpur – Jika di Malaysia, keadaan suhu di beberapa kawasan di Pantai Timur yang lebih rendah dan dingin berbanding biasa mula menjadi bualan ramai, lain pula bagi penduduk di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) kerana mereka sudah mula keluar bermain ‘salji’ semalam.

 

Portal Emirates247.com melaporkan sebahagian besar penduduk di Tanah Arab mula membiasakan diri dengan suasana dingin akibat dilanda ribut hujan batu di banyak tempat. Selain itu, hujan juga dijangkakan terus turun di beberapa kawasan di negara berkenaan.

 

 

Ribut hujan batu telah melanda zon Asia Barat berkenaan hingga menyelimuti lanskap negara yang terkenal dengan padang pasir itu dengan pemandangan putih yang luar biasa.

 

Pengguna media sosial di negara berkenaan juga memenuhkan susur masa dengan pelbagai gambar dan menganggap ketulan-ketulan ais tersebut sebagai ‘salji’.

 

Pusat Meteorologi dan Seismologi Kebangsaan (UAE) juga telah mengesahkan ia sebagai ketulan-ketulan daripada hujan batu.

 

Arus sejuk dan hujan dalam fenomena itu adalah disebabkan tekanan rendah dan pergerakan awan dari Arab Saudi ke UAE, kata pusat berkenaan.

 

Malam semalam menyaksikan petir dan kilat sabung-menyabung di beberapa tempat di UAE termasuk hujan sederhana dan lebat di bahagian Timur negara berkenaan. Cuaca mendung dan tupan angin kuat yang menjejaskan jarak penglihatan juga dijangka kerap berlaku dalam masa beberapa hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.