UniMAP Pasang Alat Pengesan Banjir Di Kawasan Berisiko Di Kelantan

TUMPAT, 20 Jan (Bernama) — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memasang sistem amaran awal banjir yang efisien di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir di Kelantan sebagai persiapan awal menghadapi bencana itu pada masa depan.

 

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata sistem itu dibangunkan susulan beberapa kajian pemetaan seluas 90 hektar yang dijalankan di kawasan terjejas banjir di Tumpat.

 

“Prototaipnya sudah disiapkan dan sebagai permulaan 12 unit pertama akan dipasang pertengahan tahun ini iaitu enam unit di tebing Sungai Kelantan dan enam lagi di beberapa kampung di Tumpat yang terjejas teruk akibat banjir bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Inovasi Sosial 1Malaysia UniMAP Ops Pasca Banjir di sini Selasa.

 

Kamarudin berkata sistem itu akan mengesan paras kenaikan air banjir melalui pengesan waktu nyata dan amaran banjir akan dikeluarkan serta-merta secara visual (cahaya) dan bunyi siren.

 

Menurutnya, ciptaan itu amat berguna kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai atau kawasan yang biasa dilanda banjir bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

 

“Kita akan buat pemetaan menggunakan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meninjau dari udara kesan banjir di Tumpat seluas 500 hektar lagi untuk menentukan pemasangan alat pengesan itu,” kata Kamarudin.

 

Katanya, penggunaan alat pengesan yang dicipta Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses UniMAP Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi mungkin diperluas ke kawasan dan negeri lain mengikut keperluan.

 

Peralatan itu juga boleh digabung melalui emel atau sistem pesanan ringkas untuk manfaat agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

 

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 1,440 pelajar dan kakitangan universiti itu terlibat dalam operasi pasca banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak bermula 18 hingga 27 Jan ini bagi meneruskan usaha pembersihan dan penyelenggaraan lain.

 

Beliau turut menyampaikan sumbangan 1,423 beg dan peralatan sekolah kepada pelajar di tujuh sekolah yang terjejas banjir di Tumpat. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.