Semua Lesen Balak Di Sarawak Dibekukan – Adenan

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan pembekuan pengeluaran lesen baru pembalakan dan akan hanya menimbangkan memperbaharui permit sedia ada berdasarkan ‘merit’, dalam usahanya menghentikan pembalakan haram.

Pembekuan itu membabitkan semua lesen hutan pembalakan di tanah kerajaan negeri dan estet hutan tetap (PFE), manakala lebih daripada separuh 155 ‘tiket pendudukan’ (OT) – lesen sementara bagi kerja pembersihan – akan ditamatkan.

“Saya mengkotakan janji-janji saya,” katanya mengenai usaha menghenti pembalakan haram di Sarawak.

Penghentian pengeluaran OT dilaksana serta-merta, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di bangunan DUN petang tadi.

Adenan berkata, beliau juga akan meminda Ordinan Perhutanan Negeri pada sidang DUN pada Mei dengan tujuan meningkatkan penalti pembalakan haram.

Jumlah baru itu masih diperbincangkan.

Lain-lain ordinan akan juga dikaji termasuk Jabatan Perhutanan, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Perbandanan Pembangunan Industri Balak Sarawak (STIDC) dan agensi kerajaan berkaitan “untuk menjadikan mereka lebih berkesan sebagai langkah pencegahan terhadap pembalakan haram”.

Setakat ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan 572 lesen balak, dengan 204 daripada lesen atas tanah kerajaan dan PFE manakala 155 adalah OT. Selebihnya adalah untuk kayu bakau dan kayu belian, sejenis kayu keras tropika bernilai tinggi.

Katanya, lesen sedia ada di atas tanah kerajaan dan PFE serta lesen OT telah menghasilkan sebagai besar daripada kayu balak negeri berjumlah hampir sembilan juta cubik meter tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.