Saya Tidak Pernah Hantar Surat Kepada FBI – Hishamuddin

Kuala Lumpur – “Saya tidak pernah menghantar surat kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat,” tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung FBI yang turut melibatkan isu raja judi, Paul Phua Wei Seng.

 

“Saya hanya boleh jawab bagi pihak diri saya sendiri,” katanya ringkas kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

 

Sebelum ini, Zahid menjelaskan beliau mempunyai kuasa menulis surat kepada FBI berhubung isu raja judi Paul Phua Wei Seng.

 

Pertama kali bercakap dalam isu ini, beliau berkata, menteri sebelumnya juga pernah mengeluarkan surat penjelasan seumpama itu.

 

“Menteri sebelum saya juga keluarkan surat penjelasan. Berdasarkan kuasa kepada menteri itulah saya menandatangani surat itu.

 

“Menteri Dalam Negeri sebelum saya juga mengeluarkan surat yang sama,” katanya.

Phua yang terkenal dalam permainan judi profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

 

Dia menduduki tempat ke-6 dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan juga disyaki terlibat dengan 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

 

Berikutan penahanan Phua, firma guamannya Chesnoff & Schonfeld memohon Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.