PLKN Ditangguhkan Sebagai Langkah Penjimatan – Najib

Program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan ditangguhkan pada tahun ini bagi memastikan langkah penjimatan dapat dilakukan berikutan kemerosotan harga minyak mentah dunia.

 

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyampaikan Perutusan Khas mengenai ekonomi dan kewangan semasa negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

 

“Dengan penangguhan PLKN tahun ini, kerajaan dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM400 juta.

 

“Dalam masa yang sama, ia mampu memberi ruang kepada kerajaan untuk mengkaji dan menambah baik program berkenaan,” katanya.

 

Selain penangguhan itu, kerajaan juga akan mengambil langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan, perkhidmatan, peganjuran majlis dan perkhidmatan profesional.

 

“Dengan mengoptimumkan perbelanjaan itu, kerajaan mampu mengurangkan kos sebanyak RM1.6 bilion.

 

“Selain itu, kerajaan akan mengkaji semula pemberian geran kepada Badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Tabung Amanah Kerajaan,” katanya.

 

Menurut beliau, kajian semula terhadap pembelian geran itu memberi keutamaan kepada syarikat yang mempunyai aliran pendapatan konsisten dan rizab yang tinggi.

 

“Langkah itu dijangka akan memberi penjimatan sehingga RM 3.2 bilion terhadap perbelanjaan negara,” katanya.

 

Kerajaan katanya juga akan menjadual semula pembelian aset tidak kritikal seperti peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan RM300 juta. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.