Pergi Dalam Pangkuan Ibu

Georgetown: “Arwah sempat diajar mengucap sebelum dia menghembus nafas terakhir di pangkuan ibunya,” kata seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Azman, menceritakan kejadian seorang remaja maut terjatuh dari tingkat enam rumahnya di Blok A-6-1 Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jalan Padang Tembak, Air Itam, di sini, petang semalam.

 

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, Mohd Hizri Jaafar, 18, yang mengalami demam panas keluar dari rumahnya sebelum dia terjatuh dari tingkat enam flat berkenaan.

 

Kejadian disedari ahli keluarga dan mereka kemudian turun melihat mangsa yang ketika itu masih bernafas sambil merintih menahan kesakitan.

 

Azman berkata, ketika itu remaja terbabit sempat memberitahu kepada ahli keluarganya bahawa dia sudah hendak mati dan ibunya yang berada di sisi anaknya, tidak putus-putus mengajar remaja itu mengucap.

 

“Suasana ketika itu sangat memilukan dan selepas diajar mengucap remaja terbabit meninggal dunia di pangkuan ibunya.

 

“Saya difahamkan mangsa mengalami demam panas dan dia mungkin tidak selesa berada dalam rumah sebelum keluar dan terjatuh dari tingkat enam,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa maut lima minit sebelum ambulans tiba dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

 

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah anggota badan dan kepalanya.

 

“Pemeriksaan mendapati tidak sebarang unsur jenayah dalam kes ini dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.