Penjenayah Tegar Diberkas Polis

KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah tegar yang mempunyai 13 rekod jenayah antara lima individu diberkas kerana dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dadah di ibu kota.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, lelaki berusia 50 tahun itu mempunyai rekod pecah rumah, pukul dan curi.

 

Menurutnya, lelaki itu ditahan bersama rakannya berusia 42 tahun dan merampas dadah bernilai RM150,000 di sebuah rumah di Chow Kit, jam 10.30 malam, Rabu lalu.

 

“Kita menjumpai satu paket besar dan enam paket plastik berisi dadah jenis syabu seberat 1,000 gram, 12 tiub straw berisi heroin dan beberapa peralatan serta cecair bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis methamphetamine,” katanya.

 

Rumah itu dipercayai dijadikan stor menyimpan alat dan bahan kimia tersebut.

 

“Ujian saringan terhadap dua lelaki itu, positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

 

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 32 tahun diberkas di Bandar Manjalara, Kepong pada hari yang sama.

 

Lelaki terbabit dipercayai bekerja sebagai pemandu bagi pelayan pelanggan (GRO).

 

“Kita menjumpai satu paket plastik dadah heroin seberat 453 gram dianggarkan bernilai RM9,000, di bawah tempat duduk penumpang kereta jenis Proton Gen2 yang dipandu lelaki tersebut,” katanya.

 

Pihaknya memberkas seorang lelaki Vietnam dan lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah, Khamis lalu.

 

“Kita merampas sebungkus plastik syabu seberat 388 gram dan 100 biji pil erimin 5 bernilai RM54,700,” katanya.

 

Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.