Pemandu Lori Maut, Kelindan Terselamat Nahas Dekat Setiu

PERMAISURI: Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya terselamat selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pokok di KM 35.9 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Lembah Bidong, Setiu, awal pagi tadi.

 

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi, pemandu lori lima tan, Mohd Azrul Hisham, 32, yang beralamat di Blok A8, Projek Kandis, Telong, Bachok, Kelantan, mati di tempat kejadian, manakala Mohd Azuhar Mohd Rosli, 22, hanya cedera ringan.

 

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamad, berkata kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan ke bandar Kuala Terengganu.

 

Katanya, sebaik sampai di tempat kejadian, lori yang membawa muatan ikan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan merempuh pokok rhu di bahu jalan.

 

“Akibat rempuhan kuat itu, pemandu tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan hanya mengalami cedera ringan.

 

“Susulan kejadian ini juga mengakibatkan ikan yang dibawa bertaburan di atas jalan raya,” katanya di sini, hari ini.

 

Ab Rahman berkata, mangsa di bawa ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat manakala kelindannya yang berasal dari Kampung Tawang, Bachok, Kelantan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

 

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian selepas bedah siasat dilakukan.

 

“Kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.