Nelydia Senrose Tidak Terdesak Kahwin Cepat

HUBUNGAN cinta bersama pengacara Qi Razali tidak pernah disembunyikan oleh Nelydia Senrose tatkala ditanya oleh media. Gadis berusia 21 tahun ini sebenarnya memang tidak lokek untuk berkongsi cinta mereka.

 

Namun, kata Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, dia lebih suka jika kisah itu dikongsi oleh teman lelakinya. Tidak mahu cakap lebih nanti tersilap pula.

 

Bertemu dengan wanita cantik kelahiran Kota Bharu ketika penggambaran drama bersiri 26 episod, Pergilah Air Mata arahan Jo Yusof baru-baru ini, dia berkongsi tentang kerjaya, perniagaan dan lakonan baharunya termasuk perkembangan cintanya. Ikuti perbualan Hits bersama Nelydia.

 

HITS: Dahulu, pernah dikatakan Nelydia akan mengakhiri zaman solo pada tahun ini? Betul ke?

 

NELYDIA: Oh, tentang itu saya tidak boleh bercakap banyak. Kalau boleh biarlah si lelaki (Qi) yang berkongsi. Tidak elok, kalau saya sebagai perempuan untuk bercerita macam-macam mengenai hala tuju hubungan kami.

 

Buat masa ini, saya tak mahu cakap tentang kahwin sepenuhnya. Saya serahkan semuanya pada Qi.

 

Tertekan atau tidak apabila ada selalu bertanya perkembangan cinta sehingga mendesak awak untuk berkahwin?

 

Tidak. Lagipun, keluarga juga tidak pernah mendesak untuk kami kahwin cepat-cepat. Malah, kedua-dua keluarga merestui hubungan ini dan sentiasa menyokong kami. Saya dengan dia (Qi) juga masing-masing saling memahami.

 

Awak ada meletakkan sasaran untuk berkahwin?

 

Saya tidak ada meletakkan sebarang jangka masa untuk berkahwin kerana sepanjang tempoh dua tahun ini juga, kami melalui banyak fasa yang mematangkan satu sama lain.

 

Perancangan untuk peringkat selanjutnya dalam hubungan kami masih belum ada.

 

Jadi, bila agaknya Nelydia akan beritahu semuanya?

 

Kalau ada lampu hijau daripada keluarga, saya pasti akan kongsikan dengan semua orang. Saya tidak mahu membelakangkan keluarga dalam hal perkahwinan kerana amat penting untuk sesebuah hubungan itu mendapat restu daripada kedua-dua orang tua.

 

Melangkah ke 2015, awak ada apa-apa rancangan?

 

Bagi tahun ini, saya rasa saya meletakkan karier dan perniagaan sebagai perkara utama. Perniagaan produk kecantikan dan kesihatan, premium minuman kolagen menerusi jenama Secret Of Senrose yang diusahakan oleh kami adik-beradik semakin mendapat tempat.

 

Sudah lebih lima bulan ia beroperasi dan untuk tahun ini saya mahu ada sesuatu dalam perniagaan tersebut.

 

Apa lagi perubahan yang ada pada diri awak selepas 2014 dan mungkin ada hasrat yang belum tertunai?

 

Banyak perubahan sebenarnya yang berlaku termasuklah cara pemikiran. Saya juga mahu lebih banyak perubahan pada tahun ini terutama memperbaiki kualiti lakonan.

 

Untuk tahun ini, saya mahu meneruskan azam tahun lalu yang masih belum dicapai. Antaranya, membawa orang tua saya ke Mekah untuk menunaikan umrah. Pada tahun ini, saya juga menyimpan hasrat untuk lebih banyak melancong.

 

Adakah awak akan bersara nanti selepas melihat perkembangan bisnes awak?

 

Tidak pernah saya katakan saya akan berhenti daripada dunia lakonan jika berjaya dalam perniagaan. Lakonan ini dah jadi macam periuk nasi saya. Ia kekal nombor satu selagi orang masih mahu saya berlakon dan diberi kepercayaan.

 

Tahun lalu, orang memang jarang lihat muka saya di kaca televisyen kerana saya sibuk uruskan perniagaan.

 

Mengenai watak Nelydia dalam drama Pergilah Air Mata bagaimana pula?

 

Kali ini peranan yang ditawarkan kepada saya sebenarnya hampir sama seperti watak-watak yang pernah saya lakonkan dalam beberapa cerita terdahulu.

 

Saya membawa watak Sabrina, seorang gadis naif dari kampung yang kehidupannya tidak terdedah kepada anasir negatif.

 

Ada sesuatu yang malang menimpa Sabrina apabila dia diperangkap oleh rakan baiknya sendiri, Maria (lakonan Reen Rahim) sehingga terpaksa berkahwin paksa dengan seorang jejaka kaya bernama Badrul (Kamal Adli).

 

Bertambah malang, apabila sudah berkahwin, Sabrina menjalani hidup yang lebih sukar dengan menjalani kehidupan bermadu dengan isteri pertama Badrul, Dayana (Izreen Azminda) sehingga sering disalah anggap mahu mengaut harta suaminya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.