Najib Ketuai Delegasi Promosi Malaysia Di Forum Ekonomi Dunia Davos Esok

DAVOS: Bandar permainan ski dengan suhu mencecah sehingga negatif 10 darjah selsius, kini bersedia menanti kehadiran delegasi antarabangsa ke Forum Ekonomi Dunia (WEF), termasuk Malaysia.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai delegasi negara ke forum tahunan yang kali ini menampilkan tema Konteks Global Baru, bermula esok hingga Sabtu ini.

 

Forum antara lain akan membincangkan isu berkaitan industri dan perniagaan dalam konteks senario semasa ekonomi global.

 

Objektif Malaysia kali ini adalah untuk mempromosi negara sebagai lokasi pelaburan utama dan destinasi pelancong di Asia, Kuala Lumpur sebagai ibu pejabat wilayah syarikat multinasional dan mempersembahkan kejayaan transformasi ekonomi Malaysia.

 

Najib juga akan mengambil peluang untuk menampilkan perancangan dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

 

Selain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, delegasi negara turut disertai oleh ketua eksekutif syarikat Malaysia dan ketua pelbagai agensi pelaburan.

 

WEF adalah forum bebas peringkat global bagi memberi ruang dialog kepada mereka yang berkepentingan, termasuk akademia, politik dan pemimpin kumpulan sosial untuk membentuk pandangan dan agenda di peringkat wilayah serta global.

 

Najib juga akan bertemu beberapa pemimpin negara dan ketua eksekutif syarikat utama di dunia yang berminat melabur di Malaysia.

 

Beliau juga dijadual menjadi hos dalam perbincangan dengan ketua syarikat dan hadir dalam acara majlis malam gala Malaysia untuk mempromosi pelbagai peluang di Malaysia. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.