Menteri Jamin PLKN 2.0 Banyak Perbezaan

SHAH ALAM – Penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diumumkan Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun ini dapat memberi ruang kajian dan penambahbaikan dilakukan ke atas program berkenaan.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam reaksinya turut memberi jaminan pihak yang terlibat secara langsung dengan program PLKN tidak akan terjejas ekoran penangguhannya.

 

“… penangguhan tahun ini tidak akan menjejaskan operator-operator kem, jurulatih dan mereka yang mempunyai jawatan tetap,” tulisnya menerusi laman mikro Twitter miliknya.

 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ruang penambahbaikan ini akan digunakan sebaik-baiknya agar generasi muda negara mendapat manfaat sepenuhnya daripada program berkenaan.

 

“PLKN 2.0 memberi penekanan kepada kemahiran untuk belia yang tidak mengikut laluan ke universiti. Mereka akan diberi latihan khusus,” kata Khairy di laman mikro Twitter.

 

Perdana Menteri dalam Perutusan Khas tentang Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara hari ini mengumumkan, PLKN ditangguh untuk tahun ini yang membawa penjimatan sebanyak RM400 juta.

 

Program berkenaan sedang dikaji semula pelaksanaannya oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Belia dan Sukan.

 

Penangguhan tersebut mengundang reaksi berbeza warga internet, walaupun kebanyakan mereka gembira menerima berita penangguhan tersebut. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.