MB Selangor Didesak Kotakan Janji

Shah Alam: Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar, mempelawa Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, untuk turun melawat beberapa projek kendalian Kerajaan Persekutuan di Selangor, yang masih tergendala angkara kerenah birokrasi pentadbiran negeri itu.

 

Noh berkata, beliau sendiri akan menulis surat kepada Mohamed Azmin menjemputnya turun bersama-sama melawat tapak projek terbabit.

 

Katanya, lawatan itu juga adalah sebagai bukti janji Mohamed Azmin mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.

 

“Saya akan cadangkan tarikh tetapi jika tidak bersesuaian, beliau boleh cadangkan tarikh kelapangannya dan saya akan ikut.

 

“Melalui lawatan bersama ini, Menteri Besar boleh melihat sendiri masalah yang menyebabkan kelewatan projek berkenaan. Saya juga berharap beliau sudi turun bersama-sama, sekali gus membuktikan apa yang dikatakan selama ini bukan lakonan semata-mata,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, di sini, semalam.

 

Noh yang juga Pengerusi BN Selangor, mendesak Mohamed Azmin mengotakan janji untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan kerana sehingga kini, masih ada beberapa projek berkepentingan rakyat yang masih tergendala akibat kerenah kerajaan negeri.

 

Ia termasuk pembinaan kampus Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) di Subang dan Maktab Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu.

 

Terdahulu di majlis itu, Noh menyampaikan agihan RM104,000 bantuan awal persekolahan kepada 1,040 pelajar SMK Seksyen 16, di sini.

 

Katanya, sebanyak 928 buah sekolah di Selangor menerima bantuan awal persekolahan membabitkan agihan peruntukan berjumlah lebih RM89 juta tahun ini. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.