Mahkamah Benarkan Sambung Tempoh Reman Terhadap Bapa Dera Anak

Butterworth – Mahkamah Majistret Butterworth membenarkan permohonan polis untuk menyambung perintah tahanan reman terhadap bapa kepada seorang kanak-kanak dipercayai mangsa dera di Sungai Dua baru-baru ini.

 

Permohonan lanjutan reman selama tiga hari itu dibuat bagi membolehkan satu siasatan lanjut dibuat selepas tempoh reman ke atas lelaki berusia 34 tahun itu tamat pada Isnin.

 

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, permohonan reman tersebut dibuat bagi melengkapkan siasatan sebelum menghantar kertas siasatan kepada pihak pejabat pendakwa raya.

 

“Siasatan ke atas kes kanak-kanak tujuh tahun ini hampir selesai. Kita telah minta supaya reman ke atas bapa kanak-kanak ini dilanjutkan selama tiga hari lagi.

 

“Mungkin esok (Selasa) kita akan rujuk kertas siasatan ke pejabat pendakwa raya. Kalau diizinkan, kita akan dakwa suspek pada hari Rabu, jika remannya tidak dilanjutkan lagi.

 

“Siasatan setakat ini meliputi para jiran, ibu dan juga sudah dapat maklum balas daripada pakar. Semuanya berjalan lancar,” kata Abdul Rahim.

 

Abdul Rahman sebelum itu melawat kanak-kanak tersebut di wad kanak-kanak di Hospital Seberang Jaya.

 

Khamis lalu, Polis Pulau Pinang menyelamatkan seorang kanak- kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dipercayai didera dengan cara tidak diberi makan dan dikurung di sebuah rumah tanpa air serta bekalan elektrik di Sungai Dua di sini.

 

Mangsa diselamatkan selepas menerima aduan daripada guru sekolah kanak-kanak tersebut yang gagal menghadirkan diri di sekolah beberapa hari selepas mendaftar hari pertama persekolahan.

 

Susulan aduan itu, serbuan dilakukan di rumah keluarga kanak-kanak tersebut dan menemuinya dikurung dengan keadaannya kurus kering.

 

Bapa mangsa kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.