Kerajaan Menjalinkan Kerjasama Dengan Penjenayah, Mengapa Bertindak Sebagai Pelindung – Mahfuz

Kuala Lumpur – PAS mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar berterus-terang dan telus kepada masyarakat berhubung dakwaan kerajaan mengadakan kerjasama dengan penjenayah bagi membanteras jenayah.

 

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan mantan Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar yang mengakui wujud kerjasama dengan penjenayah untuk mengatasi ancaman jenayah yang lebih berat dalam prinsip pasukan keselamatan di mana-mana negara telah mengesahkan perkara itu.

 

“Apabila pendedahan ini dibuat menunjukkan pihak kerajaan sememangnya ada menjalinkan kerjasama dengan penjenayah, tetapi mengapa pula perlu bertindak sebagai pelindung kepada mereka apabila didakwa di mahkamah?

 

“Jikalaulah sebegitu bermurah-hatinya kerajaan bertindak sebagai pembela kepada mereka, maka tidak hairanlah usaha pencegahan jenayah yang kian parah pada hari ini masih gagal.

 

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengkategorikan penjenayah berlesen yang mendapat restu kerajaan dan penjenayah haram yang diperangi oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Mahfuz, perbuatan bersekongkol dengan penjenayah tertentu telah membolehkan mereka berbuat sesuka-hati dan terus bermaharajalela di dalam melakukan jenayah.

 

“Penjenayah lain yang menjadi musuh mereka itu mungkin berjaya dihapuskan, tetapi bagaimana pula mahu menghapuskan penjenayah yang mendapat perlindungan kerajaan?

 

“PAS mengecam sekerasnya tindakan kerajaan melindungi dan membela penjenayah ini kerana perbuatan sedemikan adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat kepada pihak berkuasa,” katanya.

 

Pada Khamis lalu, Ahmad Zahid menegaskan suratnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa rakyat Malaysia, Paul Phua yang sedang menghadapi pertuduhan di Amerika Syarikat.

 

Katanya, surat yang ditulis kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F.Giuliano pada 18 Disember tahun lepas adalah untuk menjelaskan status Paul Phua.

 

Jelasnya, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara, beliau menjelaskan bahawa kumpulan kongsi gelap 14K Triad tidak wujud di Malaysia dan Paul Phua bukanlah anggota kumpulan kongsi gelap itu di Malaysia.

 

Ahmad Zahid berkata pengeluaran surat sedemikian bukan isu kerana menteri-menteri KDN terdahulu juga menulis dan mengeluarkan surat penjelasan seumpama itu atas kapasiti menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan.

 

“Maka dengan menggunakan budi bicara, saya mengeluarkan surat penjelasan berhubung status Paul Phua itu kepada FBI, bukannya surat sokongan untuk tidak mendakwanya,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu dan menghadiri perhimpunan bulanan kementerian itu di sini.

 

Paul Phua dan anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.

 

Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.

 

Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

 

Berikutan penahanan Paul Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld telah memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F.Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

 

Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa pengeluaran surat kepada FBI itu bukanlah atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat tetapi oleh peguam yang mengendalikan kes tersebut dan atas alasan itu surat daripadanya dikendalikan oleh syarikat guaman Shafee & Co. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.