Kerajaan Ambil Pendekatan Berhemah

Putrajaya: Kerajaan akan mengambil beberapa pendekatan tepat, berhemah dan penuh kebijaksanaan serta melakukan pengubahsuaian selaras perubahan landskap ekonomi dunia bagi memastikan Malaysia muncul sebagai blok ekonomi maju menjelang tahun 2020.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, landskap ekonomi dunia sudah berubah dengan mengejut sekali terutama selepas terjunamnya harga minyak global sehingga 60 peratus.

 

Beliau berkata, keadaan itu bukan saja memberi implikasi kepada ekonomi dunia, malah Malaysia juga tidak terkecuali.

 

Justeru, katanya, kerajaan perlu melakukan pengubahsuaian dan mengambil sikap pragmatik serta tidak lari daripada objektif yang hendak dicapai.

 

“Kita perlu melihat kejatuhan harga minyak termasuk apa kesannya kepada pertumbuhan ekonomi negara serta impak kepada hasil negara dan nilai ringgit.

 

“Esok (hari ini) kerajaan akan umumkan apa pengubahsuaian yang akan dilakukan dan langkah intervensi yang akan diambil supaya senario baharu ini kita hadapi menerusi tindakan lebih proaktif,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa dan menteri Kabinet.

 

Najib berkata, negara perlu memahami keadaan itu dan bertindak secara proaktif bagi menjamin pertumbuhan mapan selain melindungi kepentingan rakyat serta menentukan kesejahteraan rakyat tidak terjejas.

 

Katanya, kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjalan lancar seperti dirancang dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dibentang pada Mei ini dapat memberi keyakinan terhadap harapan negara dan rakyat.

 

“Tahun 2015 sudah tentu berkaitan dengan ekonomi. Pada 1 April ini penguat kuasaan GST akan dilaksanakan dan kita mesti menjamin GST dapat dilaksanakan seperti dirancang.

 

“Segala aspek perlu diambil kira termasuk menjaga harga barangan supaya tidak naik berlebihan serta boleh dikawal dengan baik,” katanya.

 

Katanya, tahun ini juga kerajaan akan melancarkan RMK-11 yang menjadi rancangan pusingan terakhir sebelum tahun 2020.

 

Najib berkata, kerajaan perlu memastikan segala yang mahu diimuatkan dalam RMK-11 dalam tempoh terdekat memberi keyakian bahawa apa yang diharapkan akan menjadi kenyataan.

 

Dalam pada itu, katanya, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia diberi peluang untuk menonjolkan diri di pentas serantau dan dunia.

 

Malah, katanya, Kuala Lumpur juga akan mengumumkan Ekonomi ASEAN (AEC) dan ia adalah satu pengisytiharan bersejarah sepanjang penubuhan ASEAN.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.