Kenaikan Gaji Malaysia Di Tangga Kedua Asia Selepas China

Malaysia merupakan negara kedua mencatatkan kenaikan gaji di Asia selepas China dengan 43% pekerja dijangka mencatatkan kenaikan gaji lebih 6%, menurut laporan Panduan Gaji Hays 2015.

 

Pengarah Urusan Hays Asia Christine Wright (gambar) berkata, permintaan peluang pekerjaan akan berterusan dalam kebanyakan sektor di Malaysia dengan memberikan peningkatan gaji kepada pekerja.

 

“Panduan kami menunjukkan jangkaan permintaan kekal di Asia walaupun mereka yang berpengalaman kian berkurang.

 

“Malaysia merupakan negara kedua pemurah dalam aspek kenaikan gaji berbanding negara lain yang terlibat. Menariknya, majikan turut menawarkan faedah yang lebih bagi mengekalkan pekerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Hays menjalankan kajian di Malaysia, Singapura, Hong Kong, China dan Jepun merangkumi 1,200 bidang dengan melibatkan 2,361 majikan yang mewakili lebih empat juta pekerja.

 

Firma itu meramalkan lebih 33% majikan di Malaysia akan menaikkan gaji 6% ke 10% dalam masa yang akan datang sementara 10% lagi akan menerima kenaikan gaji lebih tinggi daripada paras itu.

 

Katanya, 47% majikan akan menaikkan gaji pada kadar 3% hingga 6% manakala 9% majikan menawarkan kenaikan gaji kurang daripada 3%.

 

Panduan Gaji Hays Asia menunjukkan China di hadapan dalam kenaikan gaji dengan 50% majikan diramalkan menaikkan gaji pada kadar 6% ke 10% manakala 20% majikan menaikkan gaji lebih tinggi daripada paras itu.

 

Hays berkata bonus juga merupakan kaedah yang digunakan majikan bagi memberi ganjaran kepada pekerja.

 

“83% majikan akan meneruskan faedah kepada pekerja dengan faedah kesihatan (64%), alaun kereta (58%) dan insurans nyawa (47%).

 

“Bonus kekal sebagai kaedah memberi ganjaran kepada pekerja dengan 51% majikan seluruh Asia memberikan bonus lebih 50% kepada pekerja mereka.

 

“Dalam nilai pemberian bonus, 44% majikan memberikan bonus di antara 11% dan 50% daripada gaji pekerja manakala 34% majikan berkata bonus diberikan kurang 10% daripada gaji pekerja,” menurut Hays. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.