Interpol Keluar Notis Merah Buru Pembunuh Altantuya

Kuala Lumpur – Notis Merah dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) hari ini bagi memburu bekas anggota polis elit, Sirul Azhar Umar, yang dipercayai berada di Australia sejak Oktober tahun lalu, disabitkan atas kesalahan membunuh dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

 

Menurut laman webnya, Interpol menyebut lelaki 43 tahun itu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia untuk menjalani sabitan hukuman dalam kes pembunuhan.

 

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu.

 

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu selepas membenarkan rayuan mereka.

 

Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

 

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

 

Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa kedua-dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

 

Berikutan ketidakhadiran Sirul Azhar, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan Azilah dibawa ke penjara.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan pembunuhan itu.

 

Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Oktober dan pukul 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

 

Sirul Azhar 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.