Hudud Sebenarnya Bukan Agenda PAS Semata-Mata – Presiden Abim

Kuala Lumpur – Hukum hudud tidak sepatutnya dijadikan agenda sesebuah parti politik semata-mata sebaliknya ia mestilah menjadi agenda seluruh umat Islam sebelum undang-undang syariah itu boleh dilaksanakan di negara ini.

 

 

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan menegaskan umat Islam perlu diberikan kefahaman sepenuhnya mengenai hukum hudud kerana kewajipan itu ditujukan kepada umat dan bukannya pemimpin atau sesebuah kerajaan.

 

 

“Hukum hudud sebenarnya pada Abim ia bukan agenda Pas semata-mata, ia mestilah dijadikan agenda umat.

 

 

“Sebab itu kalau kita lihat balik dalam al-Quran persoalan berkaitan dengan hukum ini ditujukan kepada umat, umat yang perlu melaksanakan.

 

 

“Contohnya persoalan sebatan, sebatlah kamu, kamu itu merujuk kepada umat dan sudah tentulah agenda hudud ini mesti dijadikan sebagai agenda umat,” katanya kepada Sinar Online.

 

 

Beliau berkata demikian mengulas peranan NGO Islam itu dalam membantu Pas untuk memberi kefahaman hukum hudud kepada masyarakat sebelum ia boleh dilaksanakan di Kelantan tidak lama lagi.

 

 

Terdahulu, Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas berhasrat mengadakan sidang khas Dun Kelantan pada 29 Disember lalu bagi membentangkan satu pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2014).

 

 

Mengulas lanjut, Amidi berkata, lagi selain memberi kefahaman kepada umat Islam, persoalan hukum hudud boleh dilaksanakan atau tidak itu terletak kepada pemerintah.

 

 

“Dia (pemimpin) perlu untuk meninjau, perlu membuat pertimbangan, perlu membuat penilaian bahawa Islam atau hukum hudud itu telah sedia dilaksanakan.

 

 

“Dalam perkara ini, mungkin kerajaan negeri Kelantan merasakan bahawa hudud sudah boleh dilaksanakan di Kelantan walaupun ada pelbagai pihak memberikan pandangan (sebaliknya).

 

 

“Saya kira itu adalah hak Kelantan,” ujarnya.

 

 

Tambah beliau, hukum hudud hanya boleh dilaksanakan di Kelantan dengan mengambil kira sokongan bukan sahaja umat Islam bahkan bukan Islam perlu diambil kira.

 

 

“Kita melihat bahawa halangan kepada hudud itu bukanlah datang dari DAP semata-mata, ia juga datang daripada umat Islam yang tidak faham apabila berbincang berkaitan dengan hudud ditonjolkan adalah hukuman.

 

 

“Kenapa tidak ditonjolkan bahawa untuk melaksanakan hukum hudud ini perlu bertepatan dengan maqasid syariah.

 

 

“Bagi Abim, kita melihat maqasid syariah adalah satu standard atau piawai yang mesti dinikmati oleh semua (rakyat),” katanya lagi. – SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.