Guru Pilih Hias Kelas Konsep JDT

BATU PAHAT – Kejayaan pasukan bola sepak yang menjadi kebanggaan rakyat Johor iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), menjuarai kempen Liga Super 2014 menjadi sumber inspirasi pelbagai pihak untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.

 

Ia tidak terkecuali Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pasir, Sri Medan, di sini, apabila sebuah kelasnya iaitu, Tahun 5 Arif, yang mengambil konsep JDT untuk menghias kelas berkenaan.

 

Guru Besar SK Sri Pasir, Abu Bakar Sarip berkata, idea asal untuk menghias kelas berkenaan datang daripada guru kelas itu, Abd Aziz Othman, yang sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk memastikan kelas jagaannya kelihatan menarik.

 

Abu Bakar berkata, Abd Aziz menjelaskannya, tujuan utama kelas berkenaan dihias dengan konsep JDT adalah untuk membakar semangat murid-murid untuk rajin menuntut ilmu sehingga mencapai kejayaan cemerlang, sebagaimana pasukan JDT.

 

“Pihak Kementerian Pelajaran juga telah mengarahkan setiap kelas di semua sekolah perlu kelihatan menarik agar murid dan pelajar lebih bersemangat untuk belajar.

 

“Pihak sekolah dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyokong idea kreatif guru berkenaan, yang mampu menambah keceriaan dan mengambil semangat kejayaan JDT untuk membakar semangat murid-muridnya.” katanya kepada Sinar Harian.

 

Abd Aziz pula berkata, idea menghias kelasnya dengan konsep JDT muncul sete lah mendapati muridnya tidak kira lelaki mahupun perempuan meminati pasukan bola sepak itu.

 

Menurutnya, pada mulanya, dia ingin menghias kelas berkenaan dengan watak kartun, namun setelah berbincang dengan guru lain, mereka mencadangkan sesuatu yang lebih diminati dan mampu mendorong murid untuk rajin belajar.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, ia membuktikan semangat ditunjukkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, telah memberikan impak yang besar kepada rakyat Johor.

 

Beliau yang juga Adun Sri Medan berkata, ia bukan sahaja kepada belia malah usaha pembangunan bola sepak dan sukan untuk negeri ini sebenarnya telah melangkaui apa yang dijangkakan.

 

“Pemikiran dan idea TMJ itu sebenarnya di luar kotak pemikiran kita semua yang secara tidak langsung dengan kehadiran JDT ini berjaya memberi kesan positif dalam pembangunan sosial rakyat Johor,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.