Bukan Salah PasMa Hubungan DAP-Pas Retak – Phahrolrazi

KUALA TERENGGANU 19 Jan. – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak harus diseret untuk dipersalahkan sebagai punca keretakan hubungan yang semakin serius antara DAP dan Pas.

 

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi menegaskan, PasMa tiada kena-mengena dengan konflik itu, sebaliknya hubungan dingin antara dua parti terbabit telah lama wujud terutama dalam isu kedudukan Menteri Besar Selangor.

 

Beliau yang juga wakil rakyat Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkalan Kundor berkata, rentetan isu Menteri Besar itu telah berlarutan selain isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan oleh Pas yang mengundang bantahan hebat daripada DAP.

 

Phahrolrazi turut menafikan hubungan DAP dan Pas semakin keruh berikutan tindakan beliau mengadakan kunjungan ke atas Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

 

‘‘Jangan salahkan PasMa. Sebenarnya masalah keretakan hubungan antara DAP dan Pas bukan disebabkan pertemuan saya dengan Guan Eng. Masalah mereka telah lama berlaku lebih-lebih lagi ketika isu kedudukan Menteri Besar Selangor.

 

‘‘Jadi kalau ada yang mendakwa kami (PasMa) sebagai punca hubungan DAP-Pas semakin keruh adalah tidak benar sama sekali, kami adalah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) sebagai penyokong pakatan,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Semalam, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, kekeruhan hubungan DAP dan Pas semakin ketara berikutan layanan istimewa DAP kepada PasMa.

 

Katanya, DAP kemungkinan tidak memerlukan Pas lagi dalam pakatan pembangkang kerana boleh mempergunakan PasMa untuk meraih sokongan Melayu dan Islam.

 

Phahrolrazi seterusnya berkata, adalah pelik sekiranya PasMa dikatakan sebagai penyebab keretakan DAP-Pas sedangkan kewujudan pertubuhan itu bertindak sebagai penyokong kepada pakatan pembangkang.

 

Katanya, beliau berhasrat mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan pakatan pembangkang tidak lama lagi bagi membincangkan segala perkara berkaitan kepentingan parti dan yang pasti, pertemuan itu tanpa disertai pemimpin Pas.

 

‘‘Saya akan buat kunjungan dan bertemu para pemimpin parti dalam pakatan rakyat (pembangkang) kecuali dari Pas. Saya tak fikir akan jumpa mereka (pemimpin Pas) sebab kepemimpinan parti itu telah keluarkan arahan melarang pemimpinnya menyertai sebarang program PasMa,’’ ujarnya.

 

Ditanya sama ada beliau masih bersedia untuk bertanding sebagai calon Pas sedangkan kewujudan PasMa tidak disenangi pucuk pimpinan parti itu, Phahrolrazi berkata, perkara tersebut terserah kepada pemimpin serta ahli Pas di kawasannya.

 

‘‘Itu bergantung kepada sokongan ahli Pas kawasan saya (DUN Pangkalan Kundor), kalau mereka perlukan saya lagi, saya sedia bertanding pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) kerana ahli-ahli mempunyai kuasa,’’ tambahnya. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.