Brahim’s Yakin Dapat Teruskan Saji Makanan Dalam Penerbangan MAS

Kuala Lumpur – Brahim’s Holdings Bhd yakin akan dapat meneruskan kontrak penyajian makanan dalam penerbangan dengan Khazanah Nasional Bhd.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata syarikat itu mempunyai kemudahan melaksanakan tugas itu.

 

“Sebagai syarikat 100 peratus milik Malaysia, saya berpendapat adalah menjadi tanggungjawab kami membantu Malaysia Airlines (MAS),” katanya ketika pelancaran mesin pembersihan peralatan memasak yang patuh Syariah di sini, hari ini.

 

Tahun lalu dilaporkan syarikat itu mengadakan rundingan semula kontrak penyediaan makanan dalam penerbangan bernilai RM6.25 bilion dengan Khazanah dan berharap untuk bersetuju dengan syarat-syarat tertentu.

 

Syarikat itu, melalui anak syarikat milik 70 peratus, Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd, mempunyai kontrak 25 tahun yang berakhir pada 2028 untuk menyajikan makanan dan perkhidmatan berkaitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Syarikat itu menandatangani kontrak pada 2003 apabila ia mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam MAS Catering, yang bermasalah, daripada MAS.

 

Ibrahim berkata perbincangan masih diteruskan dan berharap memuktamadkannya sebelum syarikat baru MAS mengambil alih pada pertengahan tahun ini.

 

Mengenai sama ada perniagaan syarikat itu akan terjejas ekoran dua tragedi yang melanda MAS (MH370 dan MH317), Ibrahim berkata 2015 merupakan tahun yang mencabar bagi syarikat itu memandangkan MAS merupakan penyumbang utama hasil Brahim’s.

 

Beliau bagaimanapun berkata selain MAS, syarikat itu juga memberi perkhidmatan kepada lebih 30 syarikat dan sedang berunding dengan syarikat penerbangan yang lain.

 

Syarikat itu juga mempelbagaikan sumber pendapatannya, namun makanan dan minuman terus menjadi tumpuan, katanya.

 

“Kami akan mengambil alih rangkaian makanan segera Burger King dan kini menunggu kelulusan Bursa Malaysia.

 

“Sebaik memperoleh kelulusan daripada bursa itu dan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa, kami akan mengambil alih lebih 54 restoran Burger King di Malaysia dan 41 di Singapura,” katanya dan menambah ia bakal menyumbang RM300 juta kepada perolehan syarikat. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.