Banduan Pesalah Dadah Tunggu Giliran Hukuman Mati

Jakarta – Pelaksanaan hukuman mati ke atas enam pesalah dadah pada Ahad lalu bukanlah penamat kepada dasar tegas Indonesia menangani isu itu.

 

Peguam Negara, H M Prasetyo berkata, ketika ini ada 58 banduan lain menunggu giliran dihukum mati di depan skuad penembak tepat polis Indonesia.

 

“Menurut rancangan, hukuman mati itu dijalankan setiap bulan,” katanya kepada media.

 

Prasetyo berkata, semua banduan terbabit sudah mengemukakan permohonan mendapatkan pengampunan daripada presiden, namun ditolak.

 

Justeru, katanya, menjadi tugas pejabatnya meneliti setiap kes yang ada sebelum hukuman mati dilaksanakan secepat mungkin.

 

Sebelum hukuman itu dilaksanakan, Pejabat Peguam Negara akan memberi beberapa pertimbangan.

 

“Antaranya, kedudukan proses perundangan yang sudah berakhir dan masalah sosialnya yang dapat ditangani.

 

“Semua itu akan menjadi pertimbangan dan akan diumumkan,” katanya.

 

Apabila ditanya mengenai identiti banduan yang ada dalam senarai kedua, Prasetyo enggan mendedahkannya.

 

Alasan Prasetyo – pihaknya perlu menghormati proses perundangan sedang berlangsung.

 

“Memang dia tidak mendapat pengampunan, tetapi banduan terbabit mungkin belum tahu,” katanya.

 

Namun di sebalik kenyataan itu, dua nama hampir pasti berada dalam senarai terbaru itu – anggota kes Bali Nine, iaitu Andrew Chan dan Myuran Sukumaran. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.