Permohonan Dibuka, Deposit Sehingga RM30,000 Percuma Untuk Rumah Pertama

KUALA LUMPUR – Berita baik golongan berpendapatan sederhana yang ingin memiliki rumah pertama, anda kini boleh mendapatkan deposit pembelian daripada kerajaan sehingga RM30,000 tanpa perlu membayarnya semula. Ya, PERCUMA!.

Bantuan kerajaan dibawah program MyDeposit adalah skim untuk membantu golongan M40 – berpendapatan isi rumah antara RM3,000 sehingga RM15,000 – untuk memiliki rumah idaman masing-masing.

Skim ini terbuka kepada isi rumah bujang atau sudah berkahwin.

Bagi sudah berkahwin dan salah seorang pasangan sudah memiliki rumah, secara automatik permohonan akan dibatalkan.

Dibawah program ini, kerajaan akan memberi sumbangan deposit 10% daripada nilai jualan hartanah atau maksimum RM30,000 kepada pembeli bagi hartanah sehingga RM500,000.

Sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan MyDeposit untuk tahun 2018 dimana rakyat bebas memilih mana-mana projek perumahan swasta di seluruh negara yang menepati syarat harga yang ditetapkan.

Skim ini tidak layak digunakan bagi pembelian rumah skim kerajaan seperti rumah PPR, PR1MA, RUMAWIP, PPA1M atau mana-mana rumah mampu milik dimajukan kerajaan negeri yang dijual dibawah harga pasaran sebenar.

Insentif yang diberikan kerajaan adalah berbentuk sumbangan dan tidak perlu dibayar balik.

Kerajaan dalam pada itu meletakkan syarat kepada penerima bantuan MyDeposit dilarang menjual balik rumah yang dibeli sekurang-kurangnya 10 tahun selepas dibeli.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata jawatankuasa berkenaan akan menyemak secara teliti syarat kelayakan pemohon yang membuat permohonan dan tiada istilah pilih kasih atau perbezaan fahaman politik.

“Skim MyDeposit bertujuan membantu golongan pertengahan bagi pembelian rumah pertama menerusi projek perumahan swasta yang tidak mendapat sebarang subsidi dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Permohonan kini dibuka bermula 15 Disember lepas sehingga 15 Februari 2018.

Maklumat lanjut dan cara membuat permohonan, sila klik pautan di sini. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.