Nasib Pelarian Aleppo, Hilang Keluarga

BEIRUT – LEBANON. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, bagi Modar Sheikho kehilangan orang tersayang di Aleppo sangat terkesan buatnya.

 

Dia telah kehilangan kakaknya dalam pengeboman di awal pemberontakan berlaku, kemudiannya abangnya pula menemui ajalnya, bulan lepas dan sudah jatuh ditimpa tangga, bapanya terbunuh dalam serangan udara ketika mencari tempat menguburkan abangnya itu.

 

Setelah dia dipaksa berpindah pada Jumaat lalu, dia merakamkan satu video ucapan perpisahannya kepada bandar tersebut yang berlatarbelakangkan tinggalan bangunan yang dibom dan ribuan orang yang menunggu bas untuk keluar dari bandar tersebut.

 

“Kami hanya inginkan kebebasan dan ini yang kami dapat?

 

“Hati saya bagaikan tercarik-carik dengan setiap langkah yang diambil untuk meninggalkan Aleppo,” katanya.

 

Sheikho dan ribuan yang lain berpegang teguh dengan kawasan yang dipanggil ‘rumah’ walaupun dengan peperangan yang berlaku sejak empat tahun lalu.

 

Bagaimanapun sejak tiga minggu lalu, pihak penguasa kerajaan telah mengambil kawasan perlindungan mereka itu malahan, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu juga turut mendakwa keadaan di Aleppo sebagai ‘krisis kejatuhan nilai kemanusiaan’.

 

Bagi Ahmed, 21 tahun pula, dia masih lagi belum meninggalkan bandar tersebut dan meluahkan rasa kecewanya dengan revolusi ini dan mendakwa ia adalah kegagalan yang paling besar di dunia.

 

“Nyata bahawa revolusi ini adalah kegagalan yang paling besar di dunia dan jika Tuhan menyelamatkan saya dari perkara ini, saya akan pergi ke Turki dan mulakan hidup baru di sana.

 

“Jauh dari rejim jenayah dan pemberontak yang bijak memperdaya penduduk,” katanya kepada CBS News.

 

Kebanyakan penduduk dilihat seolah-olah dihantui dengan semangat perjuangan di bandar tersebut dan masih tidak dapat melepaskan impian mereka untuk wujudkan Syria tanpa Assad dan berikrar untuk meneruskan aktiviti antikerajaan itu hingga ke penghujungnya.

 

Seorang pakar sakit puan yang dikenali sebagai Farida pula terpaksa berpisah dengan suami dan anak perempuannya setelah dia dipaksa oleh suaminya untuk melarikan diri ke kawasan yang dikawal oleh kerajaan demi keselamatannya.

 

“Walau sesukar mana pun berada di bawah pengepungan dan pengeboman itu, saya masih berasa tenang dengan diri sendiri.

 

“Bagaimana saya harus merasa gembira sedangkan rakan-rakan yang lain sedang dibunuh secara terang-terangan?” katanya yang berharap agar dapat dipertemukan semula dengan anak perempuannya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.