Peniaga Di Kelantan Lelong Vape, Perisa Untuk Elak Kerugian

KOTA BHARU – Lebih 50 peniaga vape berkumpul membuat lelongan untuk menghabiskan stok jualan sebelum tempoh pengharaman penjualan rokok elektronik itu berkuat kuasa 1 Januari depan di negeri ini.

 

Proses lelongan yang bermula 9 malam tadi dihadiri lebih 500 pengguna vape yang datang membantu menghabiskan stok barangan rokok elektronik itu yang keseluruhannya bernilai RM200,000.

 

Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu (PPVM) Kelantan, Mohd Azlee Che Mohd Zaid, berkata pihaknya mengadakan lelongan itu untuk menghabiskan stok vape bagi menampung kerugian yang bakal ditanggung berikutan tempoh akhir notis pengharaman penjualan yang diberikan kerajaan negeri semakin hampir.

 

“Sebanyak RM200,000 nilai vape dan barangannya dilelong dengan potongan harga sehingga 20 peratus termasuk cecair perisanya.

 

“Bagaimanapun, kami rasa tempoh yang diberi tidak sempat untuk kami habiskan stok vape. Sehubungan itu, kami mohon kerajaan negeri memberi tempoh enam bulan lagi kepada kami habiskan stok barang,” katanya ketika ditemui dalam lelongan vape yang dijalankan di Lundang, malam tadi.

 

BH semalam melaporkan kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk tidak mengeluarkan lesen bagi penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari.

 

Berikutan itu, peniaga vape diminta untuk mengosongkan premis mereka bagi mengelakkan barang vape dirampas.

 

Wakil Solidariti Vape Malaysia Kelantan, Mohd Khaleb Khan Nasir Khan, berkata pihaknya akan menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan negeri bagi meminta penangguhan berkenaan. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.