Nor Farida akan disiasat

MELAKA – Polis akan memanggil Jurucakap Bekas Penjawat Awam (G25), Datuk Noor Farida Ariffin dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan kenyataan berhubung siasatan yang dijalankan mengikut Akta Hasutan.

 

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, polis sedang menyiasat bekas diplomat itu mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

 

“Siasatan kita memberi tumpuan kepada forum anjuran G25 yang diadakan di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada 5 hingga 6 Disember lalu, di mana Datuk Noor Farida adalah salah seorang daripada penceramah.

 

“Kami akan menghubungi beliau tidak lama lagi bagi menetapkan tarikh sesuai untuk mendengar dan merekodkan kenyataan beliau. Penceramah lain berkemungkinan akan dipanggil untuk memberi keterangan bergantung kepada hasil siasatan kami terhadap forum berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

 

Sementara itu, menerusi laporan sebuah portal, Noor Farida mengakui beliau tidak tahu sama ada dirinya sedang disiasat mengikut Akta Hasutan kerana sehingga kini beliau masih belum dipanggil polis berhubung perkara berkenaan.

 

Difahamkan, sebanyak lima laporan polis sudah dibuat terhadap Noor Farida setakat ini membabitkan satu di Melaka dan empat di negeri-negeri lain.

 

Noor Farida pada sidang medianya awal bulan ini berkata, enakmen kesalahan jenayah syariah yang ‘menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat’ harus dikaji semula, manakala serbuan khalwat oleh pihak berkuasa agama perlu dihentikan.

 

Sementara kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengutuk keras dakwaan itu kerana dikatakan cuba menggalakkan perzinaan.

 

Selain pelbagai bidasan, Noor Farida juga menerima ancaman kerana gesaannya supaya serbuan khalwat dihentikan.-sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.