Tiga Individu Diminta Bantu Siasatan Rusuhan Di Stadium

Kuala Lumpur – Polis masih menjejaki tiga lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kekecohan, ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014, Malaysia menentang Vietnam pada 7 Disember lalu, yang belum tampil memberi keterangan, bagi membantu siasatan berkaitan insiden itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Datuk Mohd Adnan Abdullah dalam kenyataan medianya berkata, setakat ini, 13 individu telah menyerah diri dan diambil keterangan.

Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung tiga individu itu supaya menghubungi polis.

Katanya, sesiapa yang mengenali tiga individu terbabit boleh menghubungi pegawai penyiasat, ASP Chang Sing Kong di talian 016-7723336, Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di talian 012-4748870 atau melalui talian tetap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222.

Untuk rekod, pada 7 Disember lalu, ketika aksi separuh akhir pertama, segelintir penyokong fanatik Harimau Malaya bertindak keterlaluan sehingga berlaku ketegangan antara mereka dengan penyokong Vietnam, sebaik tamat perlawanan itu.

Kejadian itu turut dikesali Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana dipercayai membabitkan kumpulan penyokong IJF (Inter Johor Firms) yang bertindak melampaui batas, dengan menyerang penyokong Vietnam.

Susulan kejadian itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terpaksa memohon maaf bagi pihak kerajaan Malaysia kepada Vietnam. – Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.