VIDEO: Lim Guan Eng Bukan Babi Suci – Perkasa

Georgetown – Sekumpulan ahli Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) Pulau Pinang berkumpul selepas solat Jumaat tadi, bagi menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang digelar mereka “babi hutan”, ekoran isu kontroversi membabitkan kalimah Allah.

Dengan sepanduk yang menuntut Lim disumbat ke penjara, Ketua Pemuda PERKASA Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin turut mendesak Setiausaha Agung DAP itu diusir dari negeri berkenaan.

Mohd Rizuad mengetuai kumpulan kira-kira 20 individu menyerahkan memorandum itu kepada Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, Abdul Malik Abul Kassim berhubung kenyataan Lim yang membenarkan orang bukan Islam di negeri itu menggunakan kalimah Allah.

Rizuad ketika sidang media turut melabelkan Guan Eng sebagai babi hutan.

“Perkasa Pulau Pinang ingin menyatakan Lim Guan Eng bukan babi suci.

“Lim Guan Eng adalah babi hutan yang perlu disingkirkan dari bumi Pulau Pinang” katanya.

Kumpulan itu tiba kira-kira jam 2.30 petang, di Menara Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan mula melaungkan “Allahu Akbar” serta cuba naik ke tingkat tiga, iaitu pintu masuk utama ke pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pintu masuk ke pejabat pentadbiran negeri itu telah ditutup lebih awal, dengan anggota polis membentuk penghadang bagi menghalang mereka daripad terus mara.

Walaupun polis mengarahkan mereka bersurai, kumpulan itu terus berhimpun kira-kira setengah jam sehingga memorandum itu akhirnya diserahkan kepada penolong Abdul Malik, Ziezul Hakim Zainol.

Terdahulu, pada pagi Jumaat, kumpulan itu membuat laporan polis terhadap Lim, berhubung kenyataannya pada minggu lalu yang membenarkan orang bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah.

Kumpulan itu turut menyerahkan salinan memorandum kepada polis untuk menyiasat kes itu.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 telah mengharamkan orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah, melalui pindaan pada 2010 di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Di bawah pindaan kepada subseksyen 48 (3) dan (4) enakmen itu, sebanyak 40 perkataan seperti Allah, Solat, Ulama, Soleh, Mufti, Iman, Surau dan Nabi, telah ditetapkan sebagai eksklusif untuk orang Islam oleh mufti Pulau Pinang.

Kenyataan Lim bahawa enakmen itu tidak boleh dikuatkuasakan ke atas orang bukan Islam mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan pelbagai pihak.

Namun, minggu lalu, beliau mengulangi pendiriannya, bahawa undang-undang dalam enakmen itu dan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa tidak terpakai untuk orang bukan Islam.

Ia menyebabkan UMNO tampil dengan kenyataan, bahawa undang-undang dan hal ehwal Islam negeri berada di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong serta Yang Dipertua Negeri, justeru Lim tidak wajar campur tangan.

Bagaimanapun, ada pihak menyokong Lim, termasuk Abdul Malik yang mengadakan sidang akhbar pada Rabu lalu, mengatakan dalam kes ini, Lim mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta dan tidak menyentuh dasar.

Abdul Malik dipetik sebagai berkata, ia adalah satu fakta yang diketahui, bahawa Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 hanya digunakan untuk orang Islam dan itulah yang dimaksudkan Lim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.