VIDEO: Penumpang Bergaduh, Pesawat Terpaksa Buat Pendaratan Cemas

Hong Kong – Sebuah pesawat Air China, penerbangan CA433 dari Chongqing ke Hong Kong nyaris membuat pendaratan cemas, gara-gara pergaduhan yang tercetus dalam pesawat itu.

Kejadian itu berlaku pada Rabu lalu, apabila empat wanita warga China bergaduh, kerana tidak berpuas hati dengan tempat duduk mereka.

Beijing News melaporkan, seorang daripada wanita itu ‘diangkat’ dari tempat duduknya, dengan kepalanya hampir terkena tempat menyimpan bagasi, ketika pergaduhan berlaku.

Keempat-empat penumpang wanita yang dikatakan dalam lingkungan pertengahan umur itu, duduk di dua baris bersebelahan satu sama lain, dalam penerbangan yang berlepas dari Chongqing sekitar jam 9 pagi Rabu.

Menurut laporan itu, apabila pesawat mencecah ketinggian kira-kira 7,500 meter, dua wanita itu menjadi berang dengan tangisan bayi di baris belakang mereka.

Mereka kemudiannya ‘membalas dendam’ dengan menurunkan kerusi.

Ia disusuli pertengkaran antara keempat-empat wanita itu di kedua-dua baris berkenaan.

Mereka kemudiannya bergelut, sebelum kru kabin masuk campur dan memberi amaran pesawat akan berpatah balik ke Chongqing, jika mereka tidak menghentikan pergaduhan itu.

Kru kabin segera memaklumkan perkara itu kepada polis Hong Kong, sebaik sahaja pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Chek Lap Kok sekitar jam 10.20 pagi Rabu.

Sebelum ini, dalam kejadian 13 Disember lalu, sepasang warga China mencetuskan huru-hara dalam pesawat AirAsia Thailand, penerbangan FD 9101 dari Bangkok ke Nanjing, gara-gara tidak berpuas hati kerana diberi tempat duduk berasingan.

Pasangan itu adalah sebahagian daripada rombongan pelancongan yang menempah tiket secara berkumpulan dan mendapat tempat duduk yang diatur mengikut turutan abjad nama.

Wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an itu bertindak ganas, dengan mencurah air panas ke arah pramugari yang membawa mee segera untuknya.

Penumpang wanita itu kemudiannya mengancam akan membunuh diri, sementara teman lelakinya pula mengugut akan meletupkan pesawat.

Kekecohan yang berlaku di dalam pesawat AirAsia Thailand itu, memaksa kapten berpatah balik ke Bangkok, dengan pasangan itu serta dua lagi penumpang warga China ditahan.

One thought on “VIDEO: Penumpang Bergaduh, Pesawat Terpaksa Buat Pendaratan Cemas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.