Pengguna Media Sosial Kritik Penyanyi Lagu ‘Ya Hanna Ya Mannan’

Kuala Lumpur – Sebuah video yang dimuat naik ke Facebook mengenai dua remaja mengalunkan lagu ‘Ya Hannan Ya Mannan’ dengan iringan gitar, mendapat pelbagai reaksi pengguna-pengguna laman sosial itu.

Video selama dua minit 40 saat itu mendapat 6,503 kongsian dan hampir 14,000 likes, namun ada yang mengecam tindakan mereka yang menggunakan gitar untuk mengalunkan lagu berunsur keagamaan itu.

Ada yang mempersoalkan penggunaan gitar atau alat muzik bertali kerana ia dianggap haram dalam Islam.

“Inilah masalahnya dalam Islam. Hukum tak jelas, sebab ulamak berselisih pendapat dan yang paling bahaya sekali ialah ulamak dan ustaz Facebook,” katanya dalam catatan itu.

Malay Mail sebelum ini ada melaporkan berhubung kenyataan pendakwah, Ustaz Abdul Raof yang menyatakan umat Islam dilarang bermain alat muzik, seperti gitar, piano atau trumpet, kerana ia bertentangan dengan hadis, sebaliknya mereka digalakkan menggunakan kompang dan gong.

Tambahnya, mazhab Shafie hanya membenarkan umat Islam mendengar muzik mengenai cintakan agama dan menggesa mereka yang mahu bermain alat muzik, sebaik-baiknya menggunakan gong atau kompang.

Bagaimanapun, mazhab Shafie membuat pengecualian untuk ‘Gambus’, instrumen bertali, sama seperti gitar, hanya jika mereka bermain mengikut peraturan Islam.

Dalam video tersebut, dua remaja itu mendendangkan lagu ‘Ya Hannan Ya Mannan’ dalam versi lagu Wali Band- Aku Bukan Bang Toyib.

Sementara itu menurut pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah berpendapat, tindakan sesetengah pengguna laman sosial dan masyarakat umum yang mempersoalkan penggunaan alat muzik seperti gitar yang digunakan sebagai kurang tepat kerana penggunaannya tidak salah.

Menurutnya, meskipun alat muzik itu bertali (autar), ia masih dibolehkan asalkan penyampainnya tidak bercanggah dengan Islam seperti melalaikan atau untuk tujuan berseronok.

“Mengikut Islam, beberapa alat muzik yang dilarang antaranya biola, trumpet atau piano kerana ia bertentangan dengan hadis.

“Namun, mazhab Shafie membuat pengecualian untuk alat muzik bertali seperti gambus dan sama seperti gitar, hanya jika ianya digunakan mengikut syariat Islam.

“Malah, mazhab Shafie juga membenarkan umat Islam mendengar muzik yang mempunyai unsur ketuhanan atau cintakan agama dan sebaik-baiknya menggunakan alat muzik seperti gong atau kompang,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

Melihat kepada peredaran zaman sekarang, Md Daud setuju sekiranya pendekatan seperti ini digunakan termasuk muzik yang tidak bertentangan dengan Islam sekiranya ianya boleh menarik masyarakat umum mendekati agama Islam.

“Sekarang kalau kita nak tafsirkan bentuk bunyi sangat sukar dan ia sama juga dalam konteks berdakwah (ceramah), cara penyampaian dalam bentuk humor digalakkan jika itu mampu menarik minat orang ramai.

“Masyarakat umum terpaksa menerima kedatangan benda-benda baru dalam hidup mereka, asalkan itu berbentuk dakwah dan menjurus kepada kesucian kepada Allah,” jelasnya.

Namun, ada di antara pengguna Facebook yang memuji tindakan dua pemuda yang dipercayai berasal dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini, kerana dapat mengalunkan lagu keagamaan dalam bentuk hiburan tidak melalaikan.

Hafis Hashim dalam catatannya berkata, “tidak perlu berbalah mengenai khilaf yang dilakukan.”

Katanya, walaupun ada sesuatu perkara dianggap salah, tetapi masih ada yang tetap melakukannya, begitu juga dengan keadaan dua remaja ini.

“Sekurang-kurangnya anak muda ini bagi hiburan yang tidak melalaikan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.